KUALA LUMPUR: ASEAN perlu memperkukuh integrasi fizikal dan institusi dalam sektor tenaga bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi sumber tenaga boleh diperbaharui yang tidak sekata di rantau ini, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pelaksanaan rangkaian Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid, APG) mampu menjadi pemangkin kepada perdagangan tenaga rentas sempadan yang lebih menyeluruh dan mampan.
“Hydro banyak tertumpu di Mekong, manakala potensi solar dan angin berada di negara-negara maritim seperti Filipina, Indonesia dan Malaysia. Justeru, kita perlu menghubungkan potensi ini agar semua negara ASEAN dapat menikmatinya secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Peralihan Tenaga anjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF) di ibu negara, hari ini.
Setakat ini, tujuh sambungan tenaga rentas sempadan sudah beroperasi, manakala lebih banyak dalam perancangan, termasuk melalui Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) yang menjadi contoh terbaik pelaksanaan perdagangan tenaga elektrik pelbagai hala di rantau ini.
Fadillah berkata, Malaysia turut memperkukuh pertukaran tenaga dua hala bersama negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.
“Malaysia mencatat sejarah apabila memulakan dagangan elektrik hijau rentas sempadan pertamanya dengan Singapura menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada 13 Disember lalu. Dalam tempoh hanya 148 hari, lebih 107 TWh tenaga hijau daripada sumber solar dan hidro telah dihantar merentasi Tambak Johor ke Singapura,” katanya.
Menurut beliau, ASEAN dijangka memerlukan kapasiti penghantaran antara wilayah sekurang-kurangnya 24.4 GW menjelang 2040, melibatkan pelaburan lebih AS$770 bilion.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi peluang untuk membina daya tahan tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, dan merangsang industri hijau baharu,” jelasnya.
Fadillah turut menekankan kepentingan penyelarasan serantau dalam aspek pensijilan tenaga hijau melalui Sijil Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy Certificate, REC) yang saling diiktiraf antara negara.
“Pengiktirafan bersama ini penting bagi mengelak masalah kiraan berganda serta memastikan keyakinan pelabur dan pembeli tenaga korporat.
“Malaysia menyokong penuh pembentukan rangka kerja ASEAN untuk atribut hijau yang selaras dengan amalan terbaik antarabangsa. Ini antara keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya.
ASEAN kini merupakan pengguna tenaga keempat terbesar dunia, dengan permintaan meningkat sekitar tiga peratus setahun dalam dua dekad terakhir. Sekiranya trend ini berterusan, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengunjurkan lonjakan lebih 60 peratus menjelang 2040.