HomeUtamaTirai Persidangan ASEAN Ke-46 Dibuka, Tekankan Visi Serantau Berasaskan Inklusiviti dan Kelestarian

Tirai Persidangan ASEAN Ke-46 Dibuka, Tekankan Visi Serantau Berasaskan Inklusiviti dan Kelestarian

Read Time:2 Minute, 6 Second

KUALA LUMPUR, 26 Mei 2025 — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan menekankan keperluan untuk memperkukuh kerjasama serantau yang inklusif dan lestari, di tengah-tengah cabaran geopolitik dan tekanan perdagangan global yang semakin meningkat.

Dalam ucapan sesi Plenary sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Anwar menyifatkan penganjuran sidang kemuncak kali ini sebagai titik penting — memperingati satu dekad penubuhan Komuniti ASEAN dan pelancaran Wawasan ASEAN 2045.

“Ini adalah tahun istimewa. Kita perlu refleksi dan pembaharuan… dan memerlukan komitmen serta iltizam bersama,” katanya kepada ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN yang hadir.

Beliau turut menyentuh kebimbangan terhadap sistem perdagangan global yang kian terancam berikutan tindakan unilateral seperti tarif baharu oleh Amerika Syarikat, serta kebangkitan semula dasar perlindungan yang menurutnya menggugat multilateralisme.

“Namun begitu, semangat kesatuan ASEAN masih utuh. Kita telah bertindak segera dengan menubuhkan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN bagi memperlihatkan keazaman kita,” ujar Anwar.

Pendekatan Aman Terhadap Isu Myanmar

Anwar memuji kemajuan diplomatik dalam menangani krisis Myanmar melalui penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Formal yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Thailand, Dr. Thaksin Shinawatra. Beliau menekankan pentingnya “pendekatan senyap” dalam mencapai kemajuan damai.

“Langkah mungkin kecil, jambatan mungkin rapuh, namun dalam hal keamanan, jambatan rapuh lebih baik daripada jurang yang meluas,” katanya penuh makna.

ASEAN-GCC-China: Model Baharu Kerjasama Serantau

Perdana Menteri turut mengumumkan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak Tiga Hala ASEAN-GCC-China yang pertama, menggambarkan kebolehan ASEAN dalam menyesuaikan diri dengan realiti dunia multipolar.

“Ini simbol kekuatan blok serantau yang bersatu dan mampu memberi impak positif kepada dunia,” ujar beliau.

Tema 2025: Inklusiviti dan Kelestarian

Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini mengangkat tema “Inclusivity and Sustainability” sebagai teras kepimpinan.

“Ia bukan sahaja cita-cita kita, tetapi tanggungjawab bersama. Masa depan ASEAN perlu dibina atas asas pertumbuhan saksama dan daya tahan yang lestari,” kata Anwar.

Antara ketua negara dan kerajaan yang hadir termasuklah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia, Prabowo Subianto; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmão sebagai Pemerhati, serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.

Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Bersempena dengan sidang kemuncak ini, dua acara penting peringkat tinggi turut akan diadakan — Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kali kedua dan Sidang Kemuncak sulung ASEAN-GCC-China — sebagai platform strategik memperkukuh kerjasama serantau dan antara serantau.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular