Keningau : Seramai 350 peserta di daerah ini telah menyertai Kursus Teknologi Penanaman Bawang yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini pada Ahad.
Kursus yang diadakan di Dewan Masyarakat Sook itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Ia juga meliputi pelbagai topik penting seperti pengadaptasian varieti mengikut agroklimat negara, penanaman secara skala besar dan pengurusan perosak dan penyakit, cara pengendalian hasil lepas tuai, serta kajian risikan pasaran domestik dan antarabangsa.

Arthur berkata, kursus itu dirancang sebagai platform pendedahan awal kepada penduduk tempatan mengenai potensi ekonomi dalam penanaman bawang merah.
“Para peserta turut diberi pendedahan aktiviti amali penanaman bawang merah bagi membolehkan mereka memahami teknik penanaman secara praktikal. Usaha-usaha yang sedang dijalankan ini merupakan bukti nyata komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan keterjaminan makanan negara.
“Ia bukan sahaja menjurus kepada pembangunan pertanian yang mampan, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti luar bandar, khususnya di Sabah dan kawasan-kawasan berpotensi tinggi yang lain,” katanya.

Hadir sama pada majlis perasmian itu adalah Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Menariknya, kursus ini juga akan menampilkan sesi perkongsian pengalaman oleh Shahrizal Denci, yang merupakan peserta Projek Khas MADANI yang bertujuan menggiatkan pengeluaran benih bawang merah tempatan secara berskala komersial.
Di bawah projek ini, beliau telah memulakan usaha penanaman bawang di kawasan seluas empat hektar di Kundasang, dengan menggunakan varieti MARDI BAW-2, yang terbukti sangat serasi dengan keadaan iklim dan tanah di kawasan tersebut.
Penanaman pertama beliau bermula pada Februari 2024, dengan pengeluaran awal sebanyak empat tan daripada kawasan seluas hanya 0.5 ekar.
Melihat kejayaan tersebut, beliau telah memperluaskan kawasan penanaman dan telah berjaya menghantar sebanyak tujuh tan varieti BAW-2 ke Semenanjung untuk ditanam di negeri Kelantan, sebagai langkah awal ke arah peluasan penanaman di sana.
Arthur berkata, MARDI kini sedang giat untuk mempercepatkan proses pengkomersialan dan pengedaran benih bawang dengan memperbanyak bahan tanaman bagi tujuan agihan kepada agensi-agensi pengembangan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan petani-petani yang terlibat dalam penanaman bawang merah.
“Sehubungan itu, seramai 15 usahawan benih bawang merah MARDI telah dilantik di seluruh negara bagi menjayakan pengeluaran awal benih – termasuk dua orang usahawan dari negeri Sabah.
“Selain Shahrizal, dua lagi petani di Sabah sedang dibangunkan di bawah projek perintis MARDI ini.
“Setiap petani dijangka mampu menghasilkan antara 1 hingga 2 metrik tan setiap musim, dan jumlah ini akan meningkat apabila teknologi dan amalan terbaik diterapkan secara meluas,” katanya.