HomeUtamaTujuh acara utama meriahkan Ulang Tahun ke-74 TYT Sabah

Tujuh acara utama meriahkan Ulang Tahun ke-74 TYT Sabah

Read Time:2 Minute, 47 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada Jun ini bakal disemarakkan dengan tujuh acara utama yang mencerminkan semangat perpaduan dan kecintaan rakyat terhadap negeri.

Tujuh acara yang bakal diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah pada Jun ini .

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata acara utama telah dirancang rapi sejak Februari lalu oleh Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelaksana bagi memastikan kelancaran program tahunan negeri itu.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk, saya amat berbangga dengan komitmen semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan ini. Kita mahu acara ini bukan sekadar simbolik, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya dalam sidang media khas di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, hari ini (26 Mei).

Katanya, antara acara yang dijadualkan termasuk Majlis Jamuan Teh bersama Kanak-Kanak Istimewa dan Anak-Anak Yatim yang akan diadakan pada 14 Jun. Acara ini melambangkan keprihatinan kepimpinan negeri terhadap golongan kurang bernasib baik dan bertujuan menyantuni mereka dalam suasana penuh mesra.

“Sambutan Hari Etnik Sabah pula akan berlangsung pada 15 Jun sebagai penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan warisan etnik yang menjadi teras kekuatan masyarakat di negeri ini. Majlis ini bakal melibatkan penyertaan pelbagai komuniti etnik yang akan mempersembahkan budaya masing-masing.

“Pada 19 Jun, satu Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat akan dilangsungkan sebagai tanda kesyukuran serta doa untuk kesejahteraan TYT dan seluruh rakyat Sabah. Acara ini merupakan pengisian kerohanian yang menekankan elemen keharmonian antara agama,” katanya.

Tambahnya lagi pada kemuncak sambutan, empat acara akan berlangsung pada 21 Jun bermula seawal jam 6 pagi dengan Istiadat Perbarisan dan Perarakan di Padang Merdeka, di sini. Acara ini dijangka melibatkan lebih 80 kontinjen daripada jabatan kerajaan, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah, mencerminkan semangat perpaduan dan patriotisme rakyat Sabah.

“Selepas perarakan, akan diadakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kawad, sebagai penghargaan kepada kontinjen yang menunjukkan disiplin dan persembahan terbaik sepanjang istiadat berlangsung.

“Turut berlangsung pada hari yang sama ialah Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu. Majlis penuh istiadat ini akan menyaksikan penganugerahan kepada individu yang telah memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang demi kemajuan negeri.

“Sambutan ulang tahun ke-74 ini akan diakhiri dengan Majlis Jamuan Negeri pada malam, yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin negeri, wakil diplomatik, ketua-ketua jabatan dan tokoh masyarakat dalam suasana penuh muhibah dan penghargaan terhadap peranan semua pihak dalam pembangunan negeri,” katanya.

Dr Joachim juga menjelaskan sebagai tambahan kepada acara fizikal, pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Sabah akan melaksanakan pemasangan papan iklan ucapan ulang tahun di kawasan masing-masing bermula awal Jun sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap kepimpinan TYT.

Katanya, raptai penuh bagi Istiadat Perbarisan akan diadakan beberapa hari sebelum acara kemuncak bagi memastikan semua pihak bersedia sepenuhnya. Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah hadir beramai-ramai ke Padang Merdeka pada 21 Jun nanti.

“Sambutan ini bukan sekadar istiadat tahunan, tetapi satu lambang kasih sayang rakyat terhadap pemimpin tertinggi negeri serta semangat cintakan Sabah,” katanya dalam sidang media khas yang turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Setiausaha Sulit TYT, Izharudin Jalaludin; Pengarah Penyiaran Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali; dan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular