HomeUtamaPekebun kecil koko digesa supaya berdaftar dengan LKM - Johari

Pekebun kecil koko digesa supaya berdaftar dengan LKM – Johari

Read Time:1 Minute, 50 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Semua pekebun kecil koko digesa supaya berdaftar dengan Lembaga Koko Malaysia (LKM) serta memastikan tanah yang digunakan mempunyai geran yang sah atau kelulusan daripada kerajaan negeri.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata langkah itu penting bagi memastikan pekebun kecil dapat diberikan pensijilan yang diiktiraf, seterusnya membolehkan hasil koko mereka menembusi pasaran eksport yang semakin menekankan pematuhan kepada prinsip kelestarian.

“Setiap tanah yang ditanam koko perlu ada sijil … ada geran tanah daripada kerajaan negeri.. Kalau tak ada, dia kena mohon. Dan kita dah maklumkan tiada lagi pembukaan hutan. Kita guna tanah sedia ada dan tingkatkan hasil dengan guna bahan tanaman yang baik dan amalan pertanian yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) di sini, hari ini.

Johari turut memaklumkan bahawa permintaan terhadap koko tempatan, khususnya dari Borneo, kini meningkat dengan ketara apabila syarikat pengeluar makanan terkenal seperti Nestlé menunjukkan minat untuk membeli semua hasil koko dari negeri ini bagi produk eksklusif seperti “Borneo KitKat”.

“Permintaan sangat tinggi, Nestlé tanya kita, ‘berapa banyak boleh hasilkan, mereka akan beli’. Jadi kita tengah tengok bagaimana nak bantu pekebun kecil guna baka hibrid supaya hasil bertambah dan pasaran sedia ada dapat dipenuhi,” jelasnya.

Katanya lagi, kementerian sedang merangka strategi bagi membantu pekebun kecil beralih kepada penggunaan varieti koko hibrid dan amalan pertanian mampan agar mereka tidak ketinggalan dalam pasaran eksport.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kejayaan MICF 2025 yang berjaya menarik penyertaan daripada 26 negara luar, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri koko antarabangsa.

“Saya ucap tahniah kepada Lembaga Koko Malaysia. Koko merupakan salah satu komoditi eksport utama negara – nilainya sekitar RM15 bilion setahun,” katanya.

Tambanya, tumpuan kini adalah untuk memastikan pekebun kecil, termasuk dalam sektor koko, dapat memenuhi syarat pensijilan seperti MSPO dan memenuhi kehendak pasaran global.

“Yang kita nak sekarang, pekebun kecil pun boleh patuh MSPO. Mereka tak ada kilang, tapi kita boleh sahkan kebun mereka, supaya mereka boleh hantar hasil ke kilang yang diperakui,” katanya.

Beliau turut menyeru semua penggiat industri komoditi termasuk sawit, getah dan koko agar mengamalkan prinsip kelestarian jika mahu kekal berdaya saing dan terus menembusi pasaran antarabangsa.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular