HomeUtamaPemimpin Asean Tandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2045, Ikrar Bentuk Masa Depan...

Pemimpin Asean Tandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2045, Ikrar Bentuk Masa Depan Serantau Yang Lebih Mampan dan Inklusif

Read Time:1 Minute, 29 Second

KUALA LUMPUR, — Negara-negara anggota ASEAN hari ini menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita, menandakan komitmen baharu blok serantau itu untuk memperkukuh integrasi, menangani cabaran global dan membentuk masa depan yang lebih mampan, saksama dan berpaksikan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata, dokumen ini bukan sekadar penghormatan terhadap masa lalu, tetapi ikrar hidup terhadap masa depan yang menuntut tindakan kolektif dan tadbir urus bersama.

“Adalah sering dikatakan bahawa cara terbaik untuk meramal masa depan ialah dengan menciptanya. Itulah yang ASEAN usahakan selama beberapa dekad melalui usaha konsisten, visi strategik dan kepercayaan serantau,” katanya dalam majlis menandatangani deklarasi yang turut dihadiri Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN

Menurut beliau, ASEAN kini berdepan cabaran ketidaktentuan persekitaran antarabangsa, ketegangan geopolitik, gangguan ekonomi, perubahan iklim dan kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan serta ekonomi digital.

“Teknologi boleh menjadi pemangkin kemakmuran, tetapi juga membawa risiko – termasuk meningkatkan ketidaksamarataan dan menggugat mata pencarian sekiranya tidak ditadbir dengan baik,” katanya.

Anwar menekankan bahawa integrasi serantau yang dirancang menerusi ASEAN 2045 perlu benar-benar berpaksikan rakyat, termasuk usaha menutup jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup dan memanfaatkan potensi insan seluruh warga ASEAN.

Deklarasi Kuala Lumpur 2045 turut memberi penekanan kepada keperluan memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi hijau dan biru, inovasi digital serta kelestarian alam sekitar, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk menjadi rantau yang lebih inklusif, berdaya tahan dan progresif menjelang dua dekad akan datang.

Majlis itu juga menyaksikan peringatan terhadap Wawasan Komuniti ASEAN 2025 yang dilancarkan di ibu kota sedekad lalu, sekali gus memperkukuh kesinambungan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam pembinaan komuniti serantau yang teguh dan stabil.

“Dengan kejelasan visi, keteguhan tekad dan kesatuan hati, marilah kita bina ASEAN yang menjadi warisan paling berharga kepada generasi akan datang,” kata Anwar mengakhiri ucapannya

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular