Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengetuai sebarang bentuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang, kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
“Selagi GRS mempunyai majoriti, kita terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain. Namun, yang paling penting, GRS mesti berada di ‘tempat duduk pemandu’,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dr Joachim berkata, sehingga kini belum ada perbincangan rasmi antara GRS dengan Bersatu mahupun Perikatan Nasional (PN) berhubung kerjasama pilihan raya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) telah mengemukakan permohonan beberapa kerusi dalam agihan dalaman GRS, namun rundingan masih berjalan.
“GRS merangkumi PBS dan STAR, dan kita bergerak sebagai satu pasukan. Fokus utama ialah memastikan kerusi yang ditandingi boleh dimenangi,” katanya.
Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada kejayaan gabungan secara keseluruhan, bukan kepada mana-mana parti secara individu.
“GRS mesti menang. Jangan bincang mengenai parti secara individu, keutamaan adalah GRS,” katanya.
Selain PBS dan STAR Sabah, GRS turut dianggotai Gagasan Rakyat, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).