KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ingin melihat lebih ramai petani menceburi penanaman koko dan memperluaskan 3,000 hektar tanah yang sudah diusahakan di Sabah.
Beliau berkata terdapat peningkatan permintaan antarabangsa bagi produk koko Malaysia, dengan nilai eksport mencapai rekod RM15.06 bilion tahun lalu, tiga kali ganda berbanding tahun 2023.
“Kita bangga bahawa Sabah telah memainkan peranan penting dalam kejayaan ini, menyumbang lebih 60 peratus daripada pengeluaran koko negara.
“Saya gembira bahawa kira-kira 3,000 petani koko di daerah Ranau, Tenom, Kota Marudu, Keningau dan Kuamut telah mendapat manfaat,” katanya pada Majlis Makan Malam Koko yang diadakan sempena dengan Pameran Koko Antarabangsa Malaysia 2025 (MICF 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam ini.
Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Hajiji berkata ini adalah satu acara penting bagi Sabah dan mencerminkan peranan besar negeri dalam industri koko Malaysia.
Beliau turut memuji Lembaga Koko Malaysia atas usaha menggerakkan kejayaan ini.
Ketua Menteri berharap Pameran Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) dan majlis makan malam ini akan membawa manfaat yang berkekalan, dari perkongsian dan pelaburan baru kepada peningkatan kesedaran global mengenai kekuatan Sabah, bukan sahaja sebagai negeri pengeluar koko utama di Malaysia, tetapi juga sebagai destinasi untuk perniagaan, pelancongan dan kebudayaan.
“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada semua pempamer antarabangsa dan pengeluar koko, usahawan, PKS tempatan, institusi akademik, kepada penaja serta rakan kongsi, baik dari Malaysia mahupun luar negara, yang telah menjayakan MICF 2025 ini,” katanya.