HomeUtamaHadiah dinaikkan, Unduk Ngadau Kaamatan terus kukuh sebagai lambang warisan budaya

Hadiah dinaikkan, Unduk Ngadau Kaamatan terus kukuh sebagai lambang warisan budaya

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh J. Evachel John 

Kota Kinabalu:  Hadiah wang tunai bagi pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan peringkat Kebangsaan tahun ini dinaikkan, menjadikan penganjuran edisi ke-65 semakin istimewa.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur, Dr Mary Gambidau, berkata pemenang utama akan membawa pulang RM15,000, meningkat daripada RM12,000 sebelum ini, diikuti RM12,000 bagi naib johan dan RM10,000 bagi tempat ketiga.

Datuk Joanna Kitingan, yang juga merupakan Pengerusi Bersama berkata seramai 51 finalis dari seluruh Malaysia telah mendaftar hari ini menandakan bermulanya ‘Cultural Pageant Week’ sempena Unduk Ngadau Kaamatan yang berlangsung dari 26 hingga 31 Mei.

Beliau menyifatkan Unduk Ngadau Kaamatan sebagai acara budaya tertua seumpamanya di Malaysia, dan mungkin juga di dunia, dengan asal-usulnya berpaksikan legenda Huminodun.

Dr Maria (kiri) dan Joanna pada sidang media pagi tadi

Joanna berkata ketahanan pertandingan ini selama lebih enam dekad adalah hasil pandangan jauh pemimpin awal Sabah yang berjaya mendapatkan pengiktirafan peringkat negeri bagi Kaamatan daripada pentadbiran British pada tahun 1960.

“Dari segi kebudayaan, kita mempunyai asas yang kukuh. Kita mempunyai asas pertandingan ratu cantik yang berpaksikan kepada lagenda dan budaya yang masih relevan sehingga hari ini.

“Sebab itulah saya katakan sejarah itu penting. Tanpa memahami sejarah,  kita tidak akan memahami identiti kita,” katanya pada sidang media hari ini di Hotel Hilton.

Joanna turut menyatakan bahawa acara ini telah berkembang dengan ketara dari segi skala penganjuran, yang kini diadakan di dewan besar berbanding lokasi lebih kecil sebelum ini.

Walaupun tiada penyertaan daripada Kinabatangan tahun ini, Joanna memberi jaminan bahawa semangat dan kesinambungan budaya terus utuh menerusi penyertaan 51 finalis yang mewakili pelbagai etnik.

“Tema tahun ini, ‘Kaamatan for All’, mencerminkan komitmen kami terhadap keterangkuman dan perpaduan, menyatukan peserta dan komuniti dari pelbagai latar belakang untuk meraikan warisan budaya bersama,” katanya.

Pelbagai aktiviti budaya dan pendidikan yang dijadualkan sepanjang minggu, termasuk sesi penggambaran, lawatan ke muzium serta pertandingan filem pendek bertemakan air dan pemuliharaan.

Sodop Unduk Ngadau yang akan berlangsung pada 28 Mei, akan menyerlahkan kreativiti pereka tempatan dengan mengetengahkan gabungan gaya kontemporari dan pakaian tradisional, bagi meraikan peranan mereka dalam memelihara keunikan budaya Sabah.

Joanna turut menekankan kepentingan dokumentasi dan penyelidikan terhadap pakaian tradisional.

Katanya, sejak beliau memperkenalkan konsep ‘back to basic’ pada tahun 2015, pelbagai penemuan Baharu telah memperkaya kefahaman terhadap kepentingan usaha menjaga keaslian pakaian tradisi.

“Penemuan ini penting kerana ia memperkaya pemahaman kita terhadap pakaian tradisional, dan kami berharap dapat menubuhkan sebuah muzium di KDCA untuk memelihara Khazanah berharga ini bersama galeri sedia ada,” katanya sambil menggesa supaya dialog antara generasi diperkukuh agar ilmu berkaitan pakaian warisan tidak hilang ditelan zaman. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular