Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama rasmi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, keutamaan ketika ini adalah mempertahankan kerajaan negeri sedia ada yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH), manakala soal kerjasama masa depan masih terbuka untuk perbincangan.
“Kerjasama? Belum lagi. Kita mahu kerjasama. Kita pertahan sekarang. Kerajaan GRS-PH itu asas kita. Dan kita telah sampaikan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi yang lain-lain, kita akan berbincang. Belum lagi pilihan raya. Bubar pun belum.
“Jadi sabar saja. Kamu tunggu. Nanti saya orang beritahu,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan pemimpin PH baru-baru ini yang menyeru GRS supaya segera memuktamadkan kerjasama menghadapi PRN Sabah.
Kenyataan itu hadir susulan gesaan oleh Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Mustapha Sakmud, yang dilaporkan media baru-baru ini menggesa GRS segera menetapkan pendirian mengenai kerjasama politik dengan PH di Sabah menjelang PRN akan datang.
Hajiji bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tarikh atau strategi PRN, sebaliknya meminta semua pihak bersabar sementara menunggu keputusan muktamad daripada pimpinan gabungan.