Kota Kinabalu : Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau yang baharu dilantik diminta meneruskan kerja-kerja masyarakat dengan komitmen tinggi.
Pengerusi Smart Sabah, Datuk Razali Razi berkata, gunakan jawatan yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya, amanah dan adil kepada semua penduduk kampung.
“JKKK perlu membantu rakyat demi kebaikan bersama,” katanya semasa merasmikan Majlis Jelajah Darau D’Hati dan Majlis Penyerahan Watikah JKKK Bagi Kawasan DUN Darau, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu katanya, program jelajah yang diadakan mendapat sambutan ramai memandangkan pelbagai agensi kerajaan dibawa bersama untuk menjayakan program ini.
Katanya, Jualan Rahmah juga diadakan yang sekali gus memberikan manfaat besar kepada penduduk kampung di sekitar DUN Darau.
Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Darau, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, program yang diadakan itu diharapkan mampu diperluaskan ke seluruh kampung dalam DUN Darau.
“Program Unit PPM Ini sudah pasti akan memberikan manfaat besar kepada penduduk di DUN ini. Kita cuba bawakan perkhidmatan yang disediakan kerajaan untuk rakyat,” katanya.
Beliau juga berharap para JKKK yang baharu dan yang dilanjutkan tempoh untuk 2026 akan melaksanakan tugasan mereka dengan penuh tanggungjawab serta berkhidmat secara jujur kepada rakyat.
Katanya, kesemua JKKK dari lapan kampung perlu gunakan tanggungjawab yang diamanahkan secara baik untuk membantu penduduk di setiap pelusuk kampung DUN Darau.