Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dari Sandakan dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan kini ditahan di Kemboja, sekali gus menimbulkan kebimbangan keluarganya yang hanya mampu berdoa agar dia segera diselamatkan.
Mangsa berusia 23 tahun itu dilaporkan berangkat ke luar negara tanpa pengetahuan ahli keluarganya dan hanya disedari selepas kakaknya menemui bukti perjalanan melalui iPad milik mangsa yang ditinggalkan di rumah.
“Semua gambar dari telefon bimbitnya diselaraskan ke iPad. Dari situ saya nampak dia tinggalkan Malaysia pada 10 Februari lalu, jam 6 pagi,” kata kakak mangsa berusia 26 tahun dalam sidang media di sini hari ini (27 Mei), ditemani abangnya berumur 28 tahun.
Menurutnya, keluarga pada mulanya menyangka adik mereka masih bekerja di Kuala Lumpur seperti biasa, namun keadaan berubah selepas bekas majikan mangsa datang ke Sandakan dan memaklumkan menerima pesanan melalui aplikasi Telegram.
“Dalam pesanan itu, adik saya ceritakan keadaannya di Kemboja. Dia dipaksa bekerja dan dipukul jika enggan ikut arahan. Dia juga gunakan bahasa Melayu supaya sindiket yang kebanyakannya faham bahasa Cina tidak memahami mesejnya,” katanya.
Difahamkan, mangsa kini berada di bawah kawalan sindiket dan telah dipukul selepas cubaan melarikan diri gagal minggu lalu. Malah, dia turut membayar sejumlah wang kepada rakannya untuk mendapatkan bantuan polis di Kemboja, namun maklumat itu terbongkar dan menyebabkan dia sekali lagi dipukul.
Mangsa turut dipaksa menandatangani kontrak palsu kononnya dia telah dipindahkan ke Myanmar, walhal dia masih berada di lokasi sama di Kemboja, dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan atas talian.
Mangsa tersebut sebelum ini bekerja sebagai pembantu peribadi dan dipercayai telah diperdaya untuk ke luar negara bersama sepuluh individu lain dengan janji peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Setakat ini, tiada sebarang tuntutan tebusan dibuat oleh sindiket, namun komunikasi kami dengan adik semakin terhad dan hanya berlaku pada waktu malam,” tambahnya.
Keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan turut menghubungi pelbagai pihak bagi mendapatkan bantuan termasuk NGO.
Ketua Pegawai Operasi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh dalam sidang media sama menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tawaran kerja luar negara yang mencurigakan.
“Modus operandi sindiket ini menyasarkan golongan muda di kawasan luar bandar,” katanya.