Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pengoperasian semula perkhidmatan feri penumpang Kota Kinabalu-Labuan menandakan kebangkitan semula laluan strategik yang menyatukan rakyat, menjana pelancongan dan menggiatkan semula ekonomi dua wilayah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkhidmatan itu bukan sekadar kemudahan logistik, malah penghubung penting dalam aspek kekeluargaan, pendidikan, pelancongan dan perdagangan antara Sabah dan Labuan.
“Perkhidmatan ini amat penting kepada rakyat. Ia menjadi jambatan hubungan sosial, budaya dan ekonomi yang telah lama terjalin,” katanya ketika melancarkan Jeti dan Feri Penumpang Kota Kinabalu-Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu di sini, hari ini.

memotong riben sebagai simbolik Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Perkhidmatan Feri Kota Kinabalu–Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, perkhidmatan tersebut sebelum ini terganggu akibat struktur jeti yang tidak selamat, penarikan subsidi bahan api serta impak pandemik COVID-19. Sebagai penyelesaian, terminal feri dipindah dari Jesselton Point ke Pelabuhan Kota Kinabalu dan kini dikendalikan sepenuhnya oleh pihak pelabuhan.
Projek itu turut menerima peruntukan RM1.3 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi kerja-kerja penambahbaikan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kumpulan Suria atas kerjasama menjayakan usaha berkenaan.
“Perkhidmatan ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Sabah 2026, selain membuka peluang pelaburan dan perdagangan baharu,” katanya.
Jelas beliau, sambungan semula laluan feri itu memperkukuh rangka kerja pengangkutan laut negeri yang lebih cekap dan lestari serta menzahirkan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada rakyat terpinggir akibat kekangan logistik.
“Semoga jeti dan perkhidmatan feri ini menjadi jambatan yang menghubungkan bukan sahaja wilayah, tetapi juga silaturahim, peluang ekonomi dan harapan masa depan rakyat,” katanya.