Oleh Sitti Nor Azizah Talata
SEMPORNA: Cubaan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina untuk menyusup masuk ke negara ini berjaya digagalkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dalam satu operasi malam tadi di perairan Pulau Boheian, di sini.
Dua bot yang membawa 10 dan 15 penumpang berusia antara tiga hingga 75 tahun dikesan sedang bergerak dari arah negara jiran sebelum dipintas oleh PPM Semporna menerusi Operasi Taring Gelora.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua penumpang termasuk juragan kedua-dua bot adalah warga Filipina yang memasuki perairan negara secara haram.
“Mereka mengaku telah membayar sejumlah wang kepada pihak tertentu untuk perjalanan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk siasatan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Siasatan juga menemukan sejumlah mata wang asing di dalam bot terbabit, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM65,237.
Nazri turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia dan pencerobohan sempadan negara.