Kota Kinabalu : Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menafikan kenyataan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berhubung masalah air yang didakwa berpunca daripada kelemahan sistem pam universiti berkenaan.
Dalam kenyataan itu, JANS memaklumkan sistem pam air UMS tidak berupaya mengepam air bagi memenuhi keperluan di kampus induk itu.
Abdul Rahman berkata, pada masa ini UMS mempunyai tiga pam untuk tujuan mengepam air dari tangki R13 ke UMS dan masih berfungsi dengan baik walaupun telah berusia.
Katanya, sehingga hari ini aras air dalam tangki R13 mencukupi untuk dipam dan proses pengepaman bekalan air ke UMS tidak bermasalah.
“Jadi masalah air di UMS ini bukan kerana sistem pam UMS yang tidak efektif, tetapi kerana aras air dalam tangki R13 tidak mencukupi untuk dipam.
“Berdasarkan pemantauan berkala oleh pasukan teknikal UMS, didapati paras air di Tangki R13 tidak sentiasa berada pada tahap optimum.
“Malah, terdapat hari-hari tertentu di mana paras air berada di bawah tahap minimum, sekali gus menyukarkan operasi pengepaman ke sistem bekalan dalaman kampus,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Selain itu, Abdul Rahman berkata, bukti bergambar serta data paras air telah direkodkan oleh UMS sebagai dokumentasi rasmi dan boleh dikemukan kepada JANS untuk rujukan lanjut.
Menurutnya, surat-menyurat kepada pihak JANS berkaitan kekurangan bekalan air di Tangki R13, notis pemakluman gangguan bekalan air, serta gambar operasi lori tangki turut dilampirkan sebagai bahan sokongan.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, tangki R13 itu bukan eksklusif kepada UMS sahaja kerana tangki itu juga adalah sumber air kepada kawasan utara Kota Kinabalu termasuk di Sepanggar, KKIP, taman-taman perumahan dan Hospital Likas.
Katanya, kawasan utara Kota Kinabalu juga merupakan kawasan yang pesat membangun dengan taman-taman perumahan dan kawasan industri baru.
“Ini bermakna bukan semua 34 juta liter sehari itu untuk UMS. Fakta menunjukkan bahawa UMS tidak dapat mengepam air dari tangki R13 ke UMS kerana bekalan air dalam tangki tersebut tidak mencukupi terutamanya waktu puncak.
“Keadaan ini menjejaskan keupayaan UMS untuk menyalurkan air secara berkesan ke seluruh kawasan kampus, khususnya kolej kediaman pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa bekalan air ke tangki R13 oleh JANS akan bertambah baik dalam masa dua bulan apabila kerja-kerja penyambungan paip dari loji rawatan air baru iaitu LRA Telibong 2 Fasa 2 ke kawasan utara Kota Kinabalu (termasuk UMS) yang telah bermula sejak tahun lalu, akan siap sepenuhnya.
“Saya yakin jika bekalan air dari loji rawatan air Telibong 2 fasa 2 (sekitar 80 juta liter sehari) sudah mula disalurkan, isu gangguan bekalan air di UMS yang menyebabkan keresahan dan tekanan emosi kepada pelajar-pelajar UMS selama ini akan selesai,” katanya.
Abdul Rahman berkata, sebagai langkah proaktif, UMS telah melaksanakan pelbagai langkah mitigasi dan persediaan jangka sederhana bagi mengurangkan impak gangguan air di UMS sementara menunggu kesemua projek-projek air yang sedang dibangunkan oleh kerajaan negeri dapat direalisasikan.
Katanya, ia termasuklah pembinaan tangki imbangan baharu berkapasiti 3.5 juta liter sehari (MLD) lengkap dengan sistem pam baharu.
Selain itu, langkah lain adalah penggunaan sumber alternatif seperti telaga tiub (tubewell) dan agihan air minuman berbotol dan penyediaan bantuan lori tangki air dengan kerjasama JANS.
“UMS amat menghargai komitmen JANS dalam mencari penyelesaian bersama secara profesional.
“UMS berpendirian bahawa penyelarasan teknikal yang lebih menyeluruh serta kerjasama strategik yang lebih erat perlu digembleng demi kepentingan bersama tetapi ianya perlu berasaskan fakta di lapangan,” katanya.
Menurutnya lagi, UMS kekal komited menjadikan kebajikan pelajar sebagai keutamaan utama.
“Justeru, sebarang cabaran teknikal atau logistik berkaitan akses kepada bekalan air bersih perlu ditangani secara menyeluruh, telus, dan segera oleh semua pihak yang terlibat,” katanya. – SABAH MEDIA