KOTA KINABALU — Ketua Pemuda GRS Penampang, Ceasar Mandela Malakun menolak dakwaan Naib Presiden Warisan, Junz Wong bahawa pentadbiran Warisan sebelum ini mencerminkan prinsip tadbir urus yang baik.
Menurutnya, imej reformis yang cuba ditampilkan oleh Warisan tidak mencerminkan realiti semasa parti itu memegang tampuk kuasa antara Mei 2018 hingga September 2020.
“Rekod pentadbiran Warisan dalam mengurus syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti Sabah International Petroleum (SIP) dan Sabah Development Bank (SDBank) menimbulkan kebimbangan serius dari segi kebertanggungjawaban dan ketelusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada tindakan ketika itu di mana Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan negeri turut mengambil alih jawatan Pengerusi SIP, sekali gus mewujudkan tumpuan kuasa yang berlebihan tanpa semak imbang yang berkesan.
“Dalam tempoh pentadbiran Warisan, hutang SIP kepada SDBank meningkat daripada RM1.05 bilion kepada RM1.24 bilion, manakala jumlah keseluruhan liabiliti kumpulan termasuk dengan bank-bank komersial mencecah RM1.75 bilion,” katanya.
Tambah Malakun yang turut memetik laporan bahawa obligasi bon luar negara SDBank melonjak daripada RM3.66 bilion kepada RM4.57 bilion sebelum Warisan meninggalkan pejabat.
“Walaupun terdapat tanda-tanda tekanan kewangan yang ketara, bank tersebut tetap mengisytiharkan keuntungan tahunan,” katanya.
Katanya lagi, pemerhati industri pada waktu itu mempersoalkan amalan tadbir urus dan berpendapat terdapat kemungkinan penggunaan kaedah perakaunan kreatif yang mungkin menyembunyikan risiko kewangan sebenar SDBank.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan pimpinan GRS kini sedang melaksanakan penstrukturan semula bagi memulihkan disiplin kewangan, memperkukuh pengurusan risiko dan memastikan SIP serta SDBank benar-benar berfungsi untuk pembangunan negeri.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui kebenaran, bukannya naratif terpilih Junz Wong. Tadbir urus bukan sekadar retorik, ia menuntut kebertanggungjawaban,” tegas beliau.