HomeUtamaPesona bunga gosing, Sabung Labuk serlah ‘tangan emas’ Dusun Labuk

Pesona bunga gosing, Sabung Labuk serlah ‘tangan emas’ Dusun Labuk

Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Disulam sepenuhnya menggunakan tangan, Sabung Labuk yang bermotifkan bunga gosing menyerlahkan penampilan Rini Aswanda Jukilin, salah seorang finalis Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2025.

Sabung Labuk atau Baju Labuk merupakan pakaian tradisi Dusun Labuk yang kebanyakannya menetap di daerah Beluran dan Telupid, Sabah.

Kemuncak pertandingan UNK peringkat kebangsaan 2025 akan berlangsung esok di Hongkod Koisaan, Penampang, dan Rini, yang julung kali menyertai pertandingan berprestij ini, bakal berentap dengan 50 lagi finalis lain.

Rini, seorang guru Bahasa Kadazan Dusun (BKD) di SK St Mary Convent, Sandakan berharap dapat memanfaatkan pentas UNK bukan sahaja untuk memperkenalkan Sabung Labuk, tetapi juga memupuk minat generasi muda terhadap bahasa ibunda dan budaya Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).

Bercakap mengenai Sabung Labuk, Rini berkata sepasang Sabung Labuk mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan bergantung kepada kemahiran seseorang penyulam.

“Bagi yang mahir, sepasang baju wanita misalnya boleh disiapkan dalam tempoh tiga minggu sahaja. Bagi yang baru belajar, ia mengambil masa berbulan, malah bertahun. Saya sendiri masih dalam proses belajar menyulam, dan saya mengambil masa hampir tiga jam untuk menyiapkan sekuntum bunga gosing sahaja.

“Ia sangat mencabar kerana memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi,” katanya sambil menambah bahawa ‘rinda amas’ atau Les Labuk yang menghiasi Sabung Labuk juga dikait sepenuhnya dengan tangan.

Antara ciri paling menyerlah pada Sabung Labuk ialah sulaman bunga berwarna merah jambu, hijau, biru dan kuning yang menggambarkan kepelbagaian pecahan ‘bansa sabanar’ dalam kelompok Dusun Labuk.

Setiap perincian sulaman dan pilihan warna mempunyai makna tersendiri. Sebagai contoh, sulaman yang berbentuk huruf “V” dari pinggang ke paras bahu melambangkan ‘kopiiso ginavo’, iaitu persefahaman dan kesepakatan yang menjadi asas kemajuan masyarakat Dusun Labuk.

Warna biru dan hijau adalah berbeza namun bagi masyarakat Dusun Labuk kedua-dua warna ini disebut ‘otomou’.

“Perincian ini menjadi simbolik atau peringatan bahawa meskipun berlainan suku, masyarakat Dusun Labuk tetap mempunyai persamaan budaya, contohnya dari segi bahasa dan muzik tradisional,” katanya.

Sabung Labuk dilengkapkan dengan aksesori tradisional seperti tali pinggang iaitu ‘kambot’ dan ‘simpagot’, ‘simbong’ (anting-anting), ‘kalung’ (rantai) dan ‘golong sulau’ (gelang tangan).

“Pada masa dahulu ‘simpagot’ diperbuat daripada ‘kumpas’ iaitu kelongsong peluru, namun atas sebab-sebab tertentu ‘simpagot’ yang digunakan pada masa kini diperbuat daripada tembaga,” katanya sambil menzahirkan penghargaan terhadap usaha kolektif pasukan penyelaras UNK Beluran, pengurusnya, pengkaji Sabung Labuk dan komuniti Dusun Labuk yang kukuh berpegang kepada prinsip ‘miiso ginavo’ dalam melestarikan keaslian pakaian tradisi Dusun Labuk.

Konsep ‘Back to Basic’ mula diperkenalkan pada tahun 2015 oleh Jawatankuasa Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) peringkat negeri, yang ketika itu dipengerusikan oleh Datuk Joanna Kitingan.

Setiap tahun, mereka menekankan kepentingan pemakaian pakaian tradisional mengikut daerah masing-masing serta menggalakkan kearifan tempatan seperti tenunan dan sulaman agar terus diperkasa.

Inisiatif ini juga menimbulkan kesedaran dan membuka ruang kepada komuniti setempat untuk menyelidik, menggali semula dan menonjolkan warisan mereka.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular