HomeUtamaKepelbagaian budaya, suku kaum di Sabah asas kekuatan negara - PM Anwar

Kepelbagaian budaya, suku kaum di Sabah asas kekuatan negara – PM Anwar

Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Penampang : Kepelbagaian budaya dan suku kaum di Sabah bukan sekadar warisan, tetapi asas kepada kekuatan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Sabah dan para pemimpin negeri atas sambutan hangat serta semangat kebersamaan yang terpancar dalam perayaan Pesta Kaamatan.

“Saya berasa amat terharu, jadi tugas Perdana Menteri mesti datang meraikan sambutan hebat Kaamatan Sabah.  Kerana saya yakin semua sambutan budaya menghormati Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan memuliakan adat istiadat kita dan suku-suku kaum kita.

“Ia termasuklah dengan semangat Kaamatan untuk ‘Toinsanan’ ini memberi kehebatan yang lebih mengangkat kedudukan Malaysia sebagai negara yang terkenal di dunia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan KDCA di sini pada Jumaat.

Anwar turut menekankan pentingnya nilai keterangkuman dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Kita boleh senaraikan ratusan perbezaan antara Kaamatan, Hari Raya, Deepavali atau Krismas. Tapi lebih penting, ada ratusan persamaan.

“Ini termasuklah semangat ihsan, kemanusiaan dan kepelbagaian yang harus kita raikan bersama. Mengapa pilih perbezaan, bila kita boleh pilih persamaan?” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa sejarah telah membuktikan bahawa egara yang gagal mengurus perbezaan akan runtuh.

“Negara yang berjaya ialah negara yang meraikan perpaduan dalam kepelbagaian. Jangan sesekali korbankan keharmonian demi perebutan kuasa politik. Pimpinan waras mesti mendahulukan rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menghargai hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri dan seluruh pimpinan Sabah kerana memilih untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat. 

“Sejak saya jadi Perdana Menteri, kita adakan mesyuarat Persekutuan dan Negeri paling kerap dalam sejarah, dan saya sendiri dengar terus pandangan pemimpin Sabah.

“Kita mahu Sabah maju bersama Malaysia. Untuk itu, perlu semangat perpaduan dan kepercayaan antara semua pemimpin. Hanya dengan hubungan yang saling meyakini, kemajuan sebenar dapat dicapai,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan mencerminkan keutamaan yang ditentukan bersama oleh Sabah dan Persekutuan, bukan ditentukan secara sepihak di Kuala Lumpur. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular