Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Pakaian tradisi Dusun Minokok Tompizos, ‘Morindon Naa’Vol’, yang berusia lebih 100 tahun, menyimpan nilai sejarah dan warisan yang tinggi bagi komuniti tersebut.
Walaupun tampak lusuh pada mata kasar, busana yang diperagakan oleh finalis Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2025 dari daerah Tongod, Winddy Pearl Gibson, tetap menyerlah dengan aura tersendiri.
Bagi Winddy, 21, memperagakan ‘Morindon Naa’Vol’ merupakan satu penghormatan terhadap legasi nenek moyang serta usaha memperkenalkan identiti kaum Dusun Minokok Tompizos kepada khalayak yang lebih luas.
“Ia agak istimewa kerana sebagai sebahagian daripada masyarakat Dusun Minokok Tompizos, saya berharap dapat melakukan yang terbaik untuk mengetengahkan keunikan etnik minoriti ini,” kata pelajar tahun pertama dalam jurusan Kejuruteraan Awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
‘Morindon Naa’Vol’, menurut Winddy, ditenun menggunakan benang gapas putih, kemudian diwarnakan menggunakan pewarna semulajadi dari tumbuh-tumbuhan yang dipanggil ‘Taum’.
Pakaian ini lazimnya dipakai dalam upacara penting seperti ‘magavau’, ‘magandavai’, majlis perkahwinan, dan majlis kesyukuran.
Potongan bajunya ringkas. Bahagian hadapan dan belakang dihiasi ‘tipai’ (butang) yang dijahit dalam susunan simetri, manakala bahagian belakang diserikan dengan ‘Ramboi Saring-Saring’, iaitu gubahan ‘sidom’ (manik) berwarna-warni yang digabung dengan tembaga segi tiga dan lonceng.
“Skirt paras lutut atau Gansing pula dihiasi dengan ‘giring’ (lonceng),” jelasnya, yang buat julung kali menyertai pertandingan berprestij ini.
Aksesori yang digunakan termasuklah hiasan kepala iaitu ‘Timbok’, dan ‘Nuri-uri’ pada bahagian hadapan dahi, ‘Gantad’ pada bahagian telinga, ‘Nurugan’ dan ‘Sinandang’ pada bahagian leher.
Pada bahagian pinggang, terdapat empat jenis aksesori iaitu ‘Tali Siku’, ‘Limpogot Goromatoi’, ‘Linikit’, dan ‘Linggom’. Hiasan tangan dan kaki pula ialah ‘Saring’ dan ‘Lungkaki’.
Tahun lalu, pentas UNK turut menyaksikan kemunculan pakaian etnik jarang dilihat apabila Elviana Gunong, seorang guru dari daerah yang sama, memperagakan ‘Sabung Nu Rumanau’, pakaian tradisi etnik Rumanau. Beliau mencipta fenomena dan meraih tempat keenam dalam pertandingan UNK 2024.
Sejak konsep ‘Back to Basic’ diperkenalkan pada tahun 2015 oleh Jawatankuasa Unduk Ngadau peringkat negeri di bawah pimpinan Datuk Joanna Kitingan, kesedaran mengenai kepentingan memartabatkan pemakaian pakaian tradisi berdasarkan etnik dan daerah masing-masing semakin meningkat.
Langkah ini membuka ruang kepada komuniti setempat untuk menyelidik, menggali semula dan menonjolkan warisan mereka, termasuklah pakaian yang selama ini mungkin hanya tersimpan dalam ingatan generasi terdahulu.