Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kem Tiku, Tawau menjadi pentas kepada perhimpunan pengakap terbesar di Sabah tahun ini apabila seramai 2,300 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Jambori Pengakap Antarabangsa Nusantara 2025.
Program tahunan yang menghimpunkan ahli pengakap dari seluruh Malaysia serta negara jiran seperti Indonesia dan Brunei Darussalam itu menyaksikan suasana meriah dengan pelbagai aktiviti berunsurkan pendidikan, kebudayaan dan pemerkasaan belia.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Pengakap Negeri Sabah dan Daerah Tawau atas kejayaan menganjurkan jambori ini.
“Ia jelas menunjukkan bahawa Tawau semakin mendapat tempat di persada aktiviti kepengakapan serantau,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dalam ucapan perasmiannya di Kem Tiku, di sini hari ini.
Beliau turut menyifatkan perhimpunan tersebut bukan sekadar acara tahunan, malah berperanan penting dalam membina persahabatan, persefahaman budaya dan perpaduan antara negara.
“Saya berasa bangga kerana Tawau menjadi tumpuan ahli-ahli pengakap dari pelbagai latarbelakang. Ini peluang terbaik untuk mengenali budaya satu sama lain dan mengeratkan silaturrahim,” katanya.
Gerakan pengakap, kata beliau, memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri, integriti serta kekuatan mental dan fizikal generasi muda.
Beliau percaya bahawa pengalaman yang diperoleh para peserta sepanjang jambori akan memberi kesan mendalam dan menjadi bekalan penting untuk masa depan mereka.
Dalam pada itu, Datuk Nizam turut mencadangkan agar Kem Tiku dimajukan sebagai pusat aktiviti belia dan lokasi pelancongan rekreasi, memandangkan potensi semula jadi kawasan tersebut.
“Sekarang ini ramai mencari tempat untuk healing, dan suasana di sini sangat sesuai. Jika fasiliti ditingkatkan, saya percaya kawasan ini boleh menjadi tumpuan bukan sahaja pengakap, malah persatuan belia dan orang awam juga,” tambahnya.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pembinaan tapak perkhemahan awam, kemudahan asas, dan kawasan riadah bagi memastikan aktiviti komuniti dapat dijalankan secara lebih lestari pada masa akan datang.