TOKYO: Malaysia menegaskan komitmen untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, inklusif dan dipercayai dalam usaha melindungi kepentingan negara, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dengan dunia semakin bergantung kepada teknologi digital, adalah penting untuk setiap negara menangani risiko yang datang bersama perkembangan pesat teknologi itu.
“Memastikan persekitaran digital yang selamat bukan lagi pilihan, ia adalah satu keperluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi Asia-Pasifik (APT) di Tokyo hari ini.
Antara usaha utama Malaysia ialah pelaksanaan Kempen Keselamatan Internet, iaitu program kesedaran berskala nasional yang memberi tumpuan kepada isu seperti penipuan dalam talian, perjudian dalam talian, buli siber, bahan penderaan seksual kanak-kanak serta penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.
Kempen ini diperluas melalui Jelajah Keselamatan Internet yang dilancarkan pada Januari lalu dengan forum interaktif dan sesi libat urus bersama pelajar dan masyarakat umum.
Malaysia juga memperkenalkan Rangka Kerja Kawal Selia baharu yang mewajibkan penyedia perkhidmatan pemesejan dan media sosial dengan lapan juta pengguna atau lebih di negara ini untuk memohon lesen khas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Langkah itu bertujuan memastikan platform besar seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, X (dahulu Twitter) dan TikTok lebih bertanggungjawab dalam mengurus kandungan yang berisiko.
“Sebagai pelengkap, Kod Tatakelakuan (Amalan Terbaik) turut diperkenalkan pada Disember 2024 untuk menggalakkan etika serta penyederhanaan kandungan secara bertanggungjawab,” jelas beliau.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia turut mengetuai perangkaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab, yang disokong semasa mesyuarat AMRI ke-17 pada 7 Mei lalu dan akan dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober depan.
Malaysia turut mencadangkan penubuhan Kit Panduan ASEAN untuk Keselamatan Dalam Talian sebagai sumber rujukan serantau dalam menangani isu berita palsu, maklumat salah dan eksploitasi atas talian.
Fahmi berkata, Malaysia juga memperkukuh usaha menangani penularan maklumat palsu menerusi portal semakan fakta Sebenarnya.my dan chatbot AIFA, yang membolehkan pengguna menyemak berita secara masa nyata melalui WhatsApp dan laman web rasmi.
“Sehingga 31 Mac lalu, AIFA telah memproses lebih 84,000 mesej, dengan purata 1,338 mesej sehari,” katanya.
Fahmi turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan negara serantau dalam membina ekosistem digital yang selamat dan menyeluruh.
“Melalui kerjasama dan pembangunan kapasiti berterusan, kita dapat pastikan tiada siapa yang tertinggal dalam era digital ini,” katanya.