Kota Kinabalu : Lebih 5,800 pelancong antarabangsa dan domestik disambut meriah menerusi sambutan khas sempena Pesta Kaamatan dan Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Sambutan yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) itu disempurnakan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Pelancong yang tiba disambut dengan tarian magunatip , persembahan tarian kadazandusun, muzik kulintangan dan hidangan tradisional.
Mereka merupakan 930 pelancong antarabangsa dari Seoul, Taipei, Singapura, Shenzhen, Hong Kong dan 4,933 pelancong domestik yang tiba menerusi 27 penerbangan.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Sabah Haryanti Abu Bakar berkata, sambutan itu selaras usaha mempromosi pelancongan budaya dan meningkatkan pengalaman pelawat menjelang TMM 2026.
“Kami menggalakkan pelancongan domestik ini bukan sahaja untuk di Kota Kinabalu tetapi juga keluar daripada kawasan sekitar antaranya yang berdekatan sehingga ke Kota Marudu, ke Kudat di mana pilihan destinasi pelancongan lebih menarik di mana kepelbagaian aktiviti.
“Selain daripada itu, Sabah juga kaya dengan kepelbagaian budaya di mana perayaan-perayaan seperti Kaamatan ini juga sebagai salah satu tarikan pelancongan domestik di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, industri pelancongan Malaysia menunjukkan prestasi kukuh dengan 38 juta ketibaan antarabangsa melibatkan RM106.79 pada 2024.
Ia memperlihat tren positif berterusan tahun ini dengan 13.4 juta ketibaan dalam empat bulan pertama menyaksikan peningkatan 21% berbanding tahun lepas. – SABAH MEDIA