HomeUtamaPesta Iraw Adou Sigog Momogun Tidung Borneo 2025 platform perpaduan dan pelestarian...

Pesta Iraw Adou Sigog Momogun Tidung Borneo 2025 platform perpaduan dan pelestarian warisan budaya – Hajiji

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Pesta Iraw Adou Sigog Momogun Tidung Borneo Sabah 2025 dapat menjadi platform penting dalam memperkenal, memperkasa, dan melestarikan budaya etnik Tidung, bukan sahaja di Sabah malah di seluruh Borneo.

Tarian etnik Tidung dipersembahan bagi memeriahkan acara Pesta Iraw Adou Sigog Momogun Tidung Borneo Sabah 2025 di Padang Bandaran Tawau, hari ini. -Foto Sabah Media / Sitti Nor Azizah Talata

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, acara itu mencerminkan nilai perpaduan serumpun dalam kalangan masyarakat Tidung merentas sempadan negara, termasuk dari Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia.

“Pesta ini bukan sekadar medan meraikan warisan budaya, malah ia memperkukuhkan identiti etnik sebagai asas pembangunan sosial dan keharmonian masyarakat majmuk di Sabah,” katanya dalam ucapannya perasmian sempena majlis pelancaran pesta tersebut di Padang Bandaran, Tawau di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada majlis anjuran Pertubuhan Komuniti Tidung dan Komuniti Tidung Sabah (PAKOT Sabah).

Menurut beliau, warisan budaya seperti bahasa, adat istiadat, pakaian tradisional, tarian, muzik dan seni kraf etnik perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.

Hajiji menegaskan bahawa penganjuran pesta seperti ini bertepatan dengan dasar kerajaan negeri Sabah yang sentiasa menyokong pemerkasaan budaya suku kaum tempatan agar lebih dikenali, bukan sahaja dalam negeri malah di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan negeri amat prihatin dan menyokong usaha memartabatkan adat dan budaya semua etnik di Sabah. Inisiatif seperti ini perlu dicontohi oleh pertubuhan-pertubuhan etnik lain,” tambahnya.

Antara pengisian utama pesta tersebut termasuklah persembahan kebudayaan, pameran warisan adat Tidung, pertandingan kesenian tradisional serta majlis ramah mesra dan dialog antara komuniti Tidung dari seluruh Borneo.

Beliau turut yakin penganjuran acara berskala besar ini akan menyumbang kepada sasaran kerajaan negeri untuk menarik seramai 3.5 juta pelancong ke Sabah tahun ini.

“Usaha seperti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kekitaan tetapi juga memberi ruang kepada pertukaran ilmu dan pengalaman antara generasi dan sempadan negara,” ujar Hajiji.

Hajiji berharap agar pesta itu menjadi medan penyatuan, pelestarian warisan dan pengukuhan jati diri bangsa Tidung di Sabah.

Nizam melawat gerai pameran.

Sementara itu, Nizam memuji kaum Tidung mewujudkan sekolah adat secara sukarela sebagai langkah penting memelihara warisan budaya dan wajar dicontohi etnik lain di Sabah.

Beliau berkata, inisiatif itu mampu memupuk perpaduan serta menjadi ruang pendidikan budaya kepada generasi muda, selain membuktikan bahawa kepelbagaian budaya adalah kekuatan negara.

Beliau turut yakin pembinaan Pusat Kebudayaan Antarabangsa di Tawau akan memperkukuh usaha melestarikan budaya pelbagai kaum.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular