Pitas: Seorang ibu, Afnah Tundan,51, menarik nafas lega apabila menerima sebuah rumah baharu selepas kediamannya musnah dalam satu kebakaran di Kampung Taka di sini tahun lalu.
Rumah yang baharu itu dibina di atas tanah bersebelahan tapak kediaman asalnya itu hasil bantuan Yayasan Kebajikan Negeri Sabah (YKNS) serta beberapa individu prihatin.
Ibu kepada tiga anak itu menerima kunci rumah baharu miliknya disampaikan Timbalan Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Pitas, Datuk Harun Ismail.
Afnah yang turut kehilangan suami tercinta, seorang anak perempuannya dan bapa saudara semasa tragedi itu menyifatkan bantuan berkenaan sebagai rahmat besar daripada Allah SWT.
“Saya tidak mampu bina rumah baharu kerana saya tidak bekerja dan hanya berharap dua anak perempuan yang sudah bekerja untuk makan minum saya serta anak bongsu yang masih bersekolah.
“Malah, saya terpaksa menumpang di rumah keluarga selepas tragedi itu, namun kini Allah SWT mengabulkan doa saya menerusi insan mulia hingga pembinaan rumah baharu ini direalisasikan.

“Justeru, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya Datuk Harun Ismail atas inisiatif beliau untuk bantuan ini,” katanya di majlis penyerahan kunci rumahnya di Kampung Taka, di sini pada Sabtu.
Pada awal Ogos tahun lalu, Guru Besar SK Senaja dan anak perempuannya berusia 12 tahun serta seorang ahli keluarga terkorban dalam tragedi kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Taka, di sini.
Sementara itu, Harun yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) berkata, kira-kira RM61,000 dibelanjakan bagi pembinaan rumah seluas 500 kaki persegi itu.
Menurutnya, YKNS memperuntukkan RM30,000 untuk bantuan berkenaan manakala selebihnya ditanggung individu-individu prihatin sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Rumah baharu Afnah ini dilengkapi dua bilik tidur, masing-masing satu dapur dan tandas serta kemudahan asas lengkap lainnya seperti bekalan air serta elektrik, termasuk lampu dan kipas.
“Pembinaannya telah bermula pada Mac, baru-baru ini dan kini siap sepenuhnya untuk didiami Afnah dan anak-anak, sekaligus memberikan harapan baru buat mereka sekeluarga,’ katanya.
Dalam perkembangan lain, Harun yang juga Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) memaklumkan pihaknya akan melaksanakan pembinaan asrama transit di SK Bawing, PITAS dalam masa terdekat.
Menurutnya, pembinaan kemudahan itu bagi menggantikan rumah transit sedia ada di kawasan pendalaman itu yang jelas daif serta sudah tidak selamat dihuni murid-murid sekolah terbabit.
“Kita ketika ini sedang tunggu proses reka bentuk dan sebaik siap, kita akan segera mulakan projek membabitkan kos RM100,000 ini dan insya Allah dalam dua minggu lagi kita mungkin dapat mulakannya.
“Asrama transit ini akan mempunyai dua komponen iaitu bilik untuk murid lelaki dan perempuan yang dilengkapi katil bertingkat, tandas serta bilik mandi, sekaligus memberi keselesaan kepada mereka.
“PDIS juga beberapa tahun sebelum ini, ada bina kemudahan sama yang masih berfungsi di Kampung Mendurian, malah kita turut menanggung perbelanjaan makan, minum anak-anak sepanjang tinggal di asrama transit ini,” katanya.