Kota Kinabalu : Orang ramai diseru untuk menggunakan kemudahan rekreasi yang disediakan khususnya di kawasan bandaraya Kota Kinabalu secara berhemah dan mengelak daripada melakukan vandalisme.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, DBKK sentiasa komited dalam memastikan kemudahan rekreasi seperti taman awam berada dalam keadaan kondusif, berkualiti dan selamat.
Menurut DBKK, sehingga kini sebanyak 14 buah taman awam di bawah seliaan DBKK, iaitu Taman Awam Teluk Likas, Taman Awam Teluk Likas Fasa 2, Taman Cycleway Fasa 3, Taman Awam Tanjung Aru, Taman Ujana Rimba Tropika, Segama Waterfront, Lintasa Deasoka, City Park, Taman Chong Thien Vun, Dataran Kg. Air, Dataran Bandaraya, Padang Merdeka, Taman Tugu Peringatan Petagas dan Taman Tun Fuad Stephens (Taman Botani).

“Penyelenggaraan taman awam dijalankan secara rutin (harian) mengikut jadual, bermula seawal jam 4 pagi hingga 6 petang. Ia melibatkan pembersihan sampah, parit, trek joging/laluan basikal; penyelenggaraan tanaman; pemangkasan pokok; pemotongan rumput serta kerja-kerja membaik pulih secara berkala bagi semua komponen taman seperti tandas awam, pondok rehat, plaza, papan tanda, tempat duduk, tempat letak kereta, laluan pejalan kaki dan lampu taman.
“DBKK juga menjalankan kerja-kerja menaik taraf taman-taman awam setiap tahun bagi meningkatkan fungsi dan kualiti kemudahan rekreasi yang terdapat di taman awam,”menurut kenyataan itu di sini.
Sementara itu, DBKK memaklumkan sebanyak lima taman awam telah siap dinaik taraf iaitu Taman Awam Tanjung Aru, Taman Tugu Peringatan Petagas, Taman Ujana Rimba Tropika, Taman Chong Thien Vun dan Taman Poket Lintasan Deasoka, manakala Segama Waterfront kini sedang dalam proses dinaik taraf.

Manakala, dua lagi kerja naik taraf yang akan dilaksanakan pada tahun ini melibatkan penggantian alatan permainan kanak-kanak di Taman Ujana Rimba Tropika dan Taman Awam Teluk Likas, mematuhi piawaian keselamatan yang telah ditetapkan SIRIM.
DBKK melalui peruntukan kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang melaksanakan pembangunan semula Taman Tun Fuad Stephens (Bukit Padang) menjadi sebuah taman botani bertaraf nasional yang akan siap sepenuhnya pada Julai tahun ini.
Selain itu, DBKK juga telah mengemukakan permohonan peruntukan bagi membina dua taman awam baharu bagi memenuhi keperluan rekreasi penduduk di sebelah utara Bandaraya Kota Kinabalu.
“Usaha berterusan ini menjadi bukti komitmen DBKK dalam menyediakan fasiliti yang berkualiti dan selamat kepada warga Bandaraya Kota Kinabalu.
“Namun, masih terdapat segelintir individu tidak bertanggungjawab yang melakukan aktiviti vandalisme seperti menconteng, membakar dan merosakkan kemudahan taman selain dengan sengaja melanggar peraturan larangan taman walaupun papan tanda peraturan taman telah dipasang.
“Individu yang didapati melakukan aktiviti-aktiviti yang dilarang boleh dikompaun di bawah Undang-undang Kecil (UUK) DBKK,” tambah kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK