Kota Kinabalu : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkukuh komitmen terhadap tadbir urus percukaian negara menerusi Program Lawatan Verifikasi Pembayar Cukai Tidak Aktif (PCTA) Tahun 2025.
Inisiatif bersepadu dengan kerjasama strategik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu telah dilaksanakan selama empat hari berakhir 29 Mei lalu.
HASiL dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu merupakan manifestasi komitmen berterusan HASiL dalam memperkukuh pematuhan cukai, memperluaskan jaringan asas cukai serta mengeratkan sinergi antara agensi demi memperkukuh tadbir urus negara.
Selain itu, PCTA yang dilaksanakan turut bertujuan untuk mengesahkan status pembayar cukai tidak aktif, khususnya dalam kalangan pemegang lesen perniagaan yang beroperasi di sekitar Kota Kinabalu iaitu Anjung Kinabalu, Anjung Senja dan Pasar Malam SAFMA seterusnya membuka ruang kepada pengaktifan semula fail percukaian mereka.
“Berdasarkan pemadanan data yang dilakukan secara sistematik dan teliti, sebanyak 380 pembayar cukai tidak aktif telah dikenal pasti selain didapati masih menjalankan aktiviti perniagaan secara aktif di lokasi-lokasi berkenaan.

“Seramai 23 orang pegawai HASiL Kota Kinabalu, Keningau dan Labuan bersama dengan 35 anggota petugas DBKK terlibat dengan pelaksanaan operasi kali ini,” menurut kenyataan itu di sini.
Majlis penutup program telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.
Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr. Sabin Samitah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas) Ahmad Khairuddin Abdullah.
Dalam ucapannya, Dr. Abu Tariq menekankan bahawa pendekatan operasi bersepadu ini turut membuktikan bahawa strategi pematuhan cukai yang berkesan tidak bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
“Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama yang erat antara agensi, khususnya melalui perkongsian maklumat yang menyeluruh dan berstruktur.
“Perkongsian data lesen perniagaan oleh DBKK telah menjadi pemangkin utama kepada kejayaan operasi ini,” katanya.
Sementara itu, Dr. Sabin dalam ucapannya menyatakan bahawa kerjasama strategik yang terjalin melalui program kolaboratif ini wajar diteruskan antara agensi Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan pada masa hadapan demi kesepakatan matlamat sekali gus menjamin kemampanan hasil negara. – SABAH MEDIA