Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Polis menahan seorang wanita berusia 39 tahun yang bertindak agresif sambil memegang senjata berbahaya di hadapan sebuah premis perniagaan di sekitar bandar Tawau, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku pada pukul 5 petang apabila suspek dikesan mengamuk dalam keadaan mencurigakan sambil memegang sebilah parang dan memandu sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Tindakan pantas sepasukan anggota rondaan Bit dari Balai Polis Tawau berjaya mengekang insiden tersebut daripada menjadi lebih buruk. Suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, maklumat awal diterima daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Tawau sebelum pasukan rondaan yang sedang bertugas segera digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba, anggota polis mendapati suspek sedang memegang parang. Mereka bertindak pantas menahan wanita berkenaan dan merampas senjata tersebut tanpa berlaku sebarang kecederaan,” ujarnya.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek turut menemui sebilah kapak yang disimpan di dalam bonet kereta.
Kesemua barangan termasuk senjata dan kenderaan telah dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Jasmin turut memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang mencurigakan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara