Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan selepas bertindak memukul bapa kandungnya dalam kejadian di Kampung Pitas, Bombalai, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Jasmin Hussin berkata, ekoran perbuatan itu mangsa seorang warga emas berusia 60-an cedera serius pada muka dan kepala.
“Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 pagi apabila suspek secara tiba-tiba menumbuk mangsa sehingga menyebabkan kecederaan serius di muka dan kepalanya,” jelas beliau dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Jasmin, bertindak atas laporan yang diterima, polis dari Balai Bombalai berjaya mengesan dan menahan suspek kurang dua jam kemudian di sebuah kawasan perumahan pekerja.
Beliau menambah, suspek cuba melarikan diri semasa tangkapan, namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan.
Pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar lebih peka terhadap kesihatan mental dan kawalan emosi dalam kalangan ahli keluarga serta menyelesaikan konflik secara matang.