Kota Kinabalu : Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) dan Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd setuju untuk bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi melatih anak Sabah dalam industri yang sesuai dengan kilang mereka di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Perkara itu dinyatakan Pengerusi SOGDC Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam satu kenyataan selepas pelancaran Projek Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd Fasa Pertama di SOGIP di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UMS berkata, pihaknya telah mengarahkan pihak UMS untuk segera berbincang dengan Esteel.

Katanya, ini adalah bagi memastikan anak-anak Sabah akan mempunyai kepakaran dan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan Esteel.
“Fasa pertama akan menyaksikan pelaburan Esteel sebanyak RM6.4 billion. Pembinaan fasa satu bermula suku ketiga tahun ini. Fasa Dua, Tiga dan Empat (dalam masa 10 tahun yang akan datang) pula akan menyaksikan pelaburan RM24.6 billion (keseluruhan pelaburan RM31 billion).
“Semasa fasa pembinaan fasa pertama, peluang pekerjaan ialah 5,490 pekerjaan. Setelah siap fasa pertama, peluang pekerjaan tetap di kilang mereka ialah 1,500 pekerjaan. Untuk fasa dua, peluang pekerjaan semasa pembinaan ialah 20,000 pekerjaan dan setelah siap peluang pekerjaan tetap di fasa dua ialah 3,299 pekerjaan,” katanya.
Katanya, Fasa ketiga pula menyediakan peluang pekerjaan semasa pembinaan sebanyak 20,000 pekerjaan dan setelah siap pembinaan fasa 3c peluang pekerjaan tetap untuk fasa tersebut ialah 5,455 pekerjaan.
“Untuk fasa empat, peluang pekerjaan masih dalam perbincangan kerana ia banyak bergantung kepada keberkesanan operasi fasa satu, dua dan tiga,” katanya lagi.
Beliau turut mengucapkan setinggi tahniah kepada pasukan pengurusan SOGDC yang diketuai oleh Datuk Harun Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan.
“Saya juga ingin memberi penghargaan kepada Ketua Menteri yang sentiasa memberi galakan dan sokongan dalam usaha SOGDC menjadi pusat pelaburan minyak dan gas Sabah. Tidak lupa penghargaan kepada Menteri Pembangunan Industri Sabah dan Setiausaha Tetap kementerian.
“Begitu juga kepada barisan ahli lembaga pengarah SOGDC. Semua menjalankan tugas masing-masing untuk merealisasikan pelaburan-pelaburan besar di dalam Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang dipunyai 100 peratus oleh SOGDC.
“Saya cukup yakin prestasi negeri Sabah yang kita cintai ini akan menjadi lebih mantap jika kita semua mengambil keputusan untuk mengembeling semua tenaga dan bersatu padu untuk menjadikan Sabah negeri yang maju dan berdaya saing,” katanya.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan Majlis Pelancaran Projek Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd Fasa Pertama di SOGIP.– SABAH MEDIA