HomeUtamaSandra Lim sertai Kaamatan dengan penuh penghayatan

Sandra Lim sertai Kaamatan dengan penuh penghayatan

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh J. Evachel John

PENAMPANG: Miss Universe Malaysia 2024, Sandra Lim, menarik perhatian ramai sepanjang menghadiri sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, baru-baru ini.

Kehadirannya mencuri tumpuan bukan sahaja kerana gelaran yang disandang, tetapi juga kerana penampilannya yang menggayakan pakaian tradisional daripada beberapa kumpulan etnik iaitu Murut, Lundayeh dan Kadazan Penampang.

Malah, beliau turut tampil dengan gaya rambut “sanggul gong” yang sinonim dengan pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK).

“Saya sangat gembira dan bangga dapat memakai pakaian tradisional yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Sandra Lim cantik memakai baju tradisi etnik Murut.

Sandra turut memuji usaha pihak penganjur dalam memelihara dan memperkenalkan budaya pelbagai etnik di Sabah melalui pelbagai acara sempena sambutan perayaan itu.

Bermula dengan menghadiri pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) pada 29 Mei, Sandra terus menikmati suasana kemeriahan Kaamatan pada 30 Mei, dan seterusnya menyaksikan pertandingan akhir UNK pada 31 Mei.

“Saya berterima kasih atas layanan mesra dan sambutan hangat yang saya terima di Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas pertandingan UNK selesai.

Sandra Lim tampak anggun dengan baju tradisi etnik Lundayeh.

Sandra sebelum ini mewakili Malaysia di pentas Miss Universe 2024 di Mexico dan berjaya menempatkan diri dalam Top 30, pencapaian terbaik negara dalam tempoh lebih 50 tahun. Persembahannya dalam kostum kebangsaan bertemakan Puteri Walinong Sari turut menerima pujian dan tular di media sosial seluruh dunia.

Baju tradisi etnik Kadazan Penampang menyerlahkan keayuan Sandra Lim.

Sandra menyifatkan suasana pertandingan Unduk Ngadau sebagai mengimbau kenangan pertandingan ratu cantik antarabangsa yang pernah disertainya.

Beliau berkongsi bahawa seorang ratu akan bersinar paling terang apabila berada di atas pentas.

“Anda boleh nampak ‘faktor X’ itu apabila mereka melangkah ke atas pentas, cara mereka berjalan, bercakap, dan tersenyum.

“Pemenangnya (Atitih Yatih Robert dari Tamparuli) memang pilihan saya sejak awal lagi,” katanya sambil tersenyum.

“Saya rasa seluruh Malaysia boleh belajar sesuatu daripada Sabah. Semangat dan keunikan budaya di sini…. Itu yang patut kita bawa bersama ke masa depan,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing cuba lari dari polis ditahan positif dadah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular