Kota Kinabalu: Syarikat penerbangan AirAsia merancang untuk bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Sabah bagi melaksanakan program latihan untuk melahirkan juruterbang, jurutera dan kakitangan teknikal penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha membangunkan modal insan tempatan khususnya dalam kalangan belia B40.
“Walaupun sektor pelancongan kekal sebagai pemacu utama ekonomi Sabah, AirAsia mahu memperluaskan sumbangan melalui pembangunan bakat dan kemahiran tenaga kerja tempatan.
“Kami sudah mempunyai ramai kru kabin, jurutera dan juruterbang. Jadi, kami mahu membantu melahirkan lebih ramai juruterbang, jurutera serta kakitangan teknikal dalam kalangan anak-anak Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, di sini pada Selasa.

Tony berkata pihaknya sudah bersedia dari segi silibus dan struktur program serta akan menubuhkan jawatankuasa kerja bagi merangka pelaksanaan program berkenaan.
“Sebaik sahaja dana mencukupi, kami akan mula membuka permohonan. Sasaran kami adalah untuk memulakan program ini sebelum hujung tahun, bermula dengan latihan juruterbang,” katanya.
Katanya, program itu akan diperluaskan ke bidang kejuruteraan serta teknikal lain termasuk berkaitan kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan pelaburan berterusan syarikat dalam teknologi terkini.
“Dalam industri penerbangan, AirAsia kini banyak menggunakan AI untuk penjadualan rangkaian, penjimatan bahan api dan pengurusan bagasi.
“Justeru, kami mahu anak-anak Sabah turut terlibat dalam perkembangan teknologi ini,” katanya.