Kota Kinabalu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Labuan berjaya menahan sebuah kapal nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menunda pukat secara haram di bawah tiga batu nautika dari pantai di sini pada Isnin.
Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, penahanan dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin dengan bantuan sistem pemantauan dari Stesen Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal terbabit beroperasi kira-kira satu batu nautika Barat Laut dari Tanjung Tembungo.
“Ketika ditahan, ia sedang menunda pukat secara haram dan dikendalikan oleh seorang juragan bersama lima kru, kesemuanya warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Mohd Khairulanuar berkata, kapal tersebut melanggar syarat sah lesen di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang dilarang.

“Kesemua kru bersama muatan ikan campur seberat satu tan telah ditahan. Nilai rampasan termasuk hasil tangkapan dan vesel dianggarkan berjumlah RM45,000,” katanya.
Katanya lagi, penggunaan kaedah tunda tepi dalam lingkungan kurang tiga batu nautika bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam ekosistem marin.
“Kaedah ini boleh memusnahkan habitat semula jadi, menggugat kitaran pembiakan ikan, dan paling ketara menjejaskan sumber rezeki nelayan tradisional yang bergantung kepada kawasan pesisir pantai,” katanya.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan bersepadu di kawasan perairan tumpuan menerusi sistem SWASLA serta pengoperasian aset-aset maritim secara strategik.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti perikanan haram atau pencerobohan boleh menyalurkan aduan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-270165 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – SABAH MEDIA / MARITIM MALAYSIA