KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai membidas Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin susulan kenyataan terbaharunya yang disifatkan sebagai angkuh dan tidak berpijak di bumi nyata dalam konteks politik Sabah.
“Bung tidak layak bercakap soal kesetiaan kerana beliau sendiri pernah cuba menjatuhkan kerajaan demi kepentingan peribadi,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menolak dakwaan Bung bahawa GRS telah mengkhianati Barisan Nasional (BN), menyifatkannya sebagai cubaan memutarbelitkan fakta untuk mengalih perhatian daripada peranannya sendiri dalam krisis politik lalu.
“Sebenarnya Bung yang berpakat dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) pada Januari 2023 untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Beliau bukannya dikhianati, malah beliaulah yang mengkhianat. Walaupun ketika itu memegang jawatan dalam Kabinet negeri, beliau langsung tidak menghormati rakan-rakan sejawat dalam kerajaan pimpinan Hajiji,” tegasnya.
Joniston berkata, GRS tidak pernah bergantung kepada UMNO dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang secara bersendirian.
“Bung tidak perlu terus berlagak seolah-olah GRS begitu terdesak mahu bekerjasama dengan UMNO-BN,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam krisis politik tersebut, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sendiri enggan menyokong tindakan Bung dan sebaliknya memilih untuk bersama Hajiji serta Pakatan Harapan (PH).
“Kalau ada yang perlu bermuhasabah, ia adalah Bung. Kenapa rakan-rakan parti sendiri meninggalkan ‘Langkah Kinabalu’? Kenapa PH menyokong Hajiji, bukan anda? Jawapannya mudah, kerana tiada keyakinan terhadap anda,” ujarnya.
Joniston yang juga Ketua Penerangan PBS menegaskan partinya tidak akan melupakan penghinaan yang pernah dilemparkan oleh Bung apabila melabel PBS sebagai ‘melukut di tepi gantang’.
“Anda tidak pernah menghormati PBS mahupun sekutu-sekutu anda. Kini anda mengharapkan kerjasama? Jangan terkejut jika rakyat Sabah terus menolak UMNO sebagaimana yang berlaku di negeri-negeri lain di Semenanjung.
“Sabah bukan tempat untuk anda jadikan sandaran politik. GRS kini fokus kepada perkara yang lebih utama iaitu perpaduan, kestabilan dan berkhidmat untuk rakyat,” tegasnya.