Oleh Alexter Rosalia
KOTA MARUDU: Penduduk Kampung Pangapuyan Baru akhirnya boleh menarik nafas lega apabila jalan konkrit sepanjang 150 meter yang diimpikan sejak dua tahun lalu berjaya direalisasikan.
Projek tersebut merupakan inisiatif Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Hendrus Anding, yang memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan Malaysia.
Projek berkenaan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Kota Marudu dengan kos keseluruhan sebanyak RM150,000, melibatkan kemudahan akses utama penduduk di kawasan pedalaman.
Seramai kira-kira 400 penduduk kampung, majoritinya petani dan pekebun, kini mendapat manfaat daripada pembinaan jalan konkrit itu yang memudahkan urusan harian mereka.
Hendrus mengumumkan kejayaan pelaksanaan projek tersebut semasa merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Pangapuyan Baru 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna kampung itu.
Beliau berkata kejayaan itu membuktikan bahawa setiap cadangan daripada penduduk sentiasa diberi perhatian dan tindakan sewajarnya oleh pihak kerajaan.
“Banyak sudah cadangan yang diangkat oleh penduduk kampung ini, termasuklah jalan konkrit. Saya akan terus memberikan sokongan kepada apa jua projek pembangunan kemudahan asas di sini,” katanya.
Ketibaan Hendrus ke kampung tersebut disambut meriah oleh penduduk yang menghargai komitmen beliau terhadap pembangunan luar bandar, khususnya di kawasan Kota Marudu.
Majlis perasmian turut disempurnakan dengan simbolik pukulan gong sebanyak tujuh kali sebagai tanda bermulanya Pesta Kaamatan peringkat Kampung Pangapuyan Baru 2025.