Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang bekas jurujual didenda sebanyak RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan berkaitan jenayah komputer.
Mohd Ariffin Rafiuddin, 35, membuat pengakuan bersalah di hadapan hakim Noor Hafizah Mohd Salim.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh hukum di bawah seksyen 4(3) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Ariffin didenda RM5,000 atau penjara 10 hari bagi setiap pertuduhan kerana melakukan capaian tanpa kuasa ke atas sistem operasi terminal kad kredit untuk menipu menggunakan kad kredit atas namanya sendiri bagi pembelian dua unit iPhone 15 Pro Max masing-masing bernilai RM5,999.
Bagi empat lagi pertuduhan lain, tertuduh didenda RM10,000 atau dipenjara 20 hari bagi setiap pertuduhan.
Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh telah membuat pembayaran bagi dua buah Macbook Air 13 inci, dua buah Iphone 15 Promax, sebuah Iphone 15 Pro, dengan jumlah keseluruhan RM29,095.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh membuat pembayaran menggunakan sistem sama bagi empat buah Samsung Galaxy S24 dan sebuah iPhone 15 Pro bernilai RM30,695.
Untuk pertuduhan kelima, Mohd Ariffin membuat pembayaran bagi empat unit IMac 24 inci berjumlah RM26,996; manakala bagi pertuduhan keenam, tertuduh telah membayar dua unit MacBook bernilai RM10,398.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Kedai Urban Republic, Imago, di sini pada 12 Jun 2024 antara jam 1.30 petang hingga 4.23 petang.
Peguam Lim Ming Zoong yang mewakili tertuduh memohon hukuman diringankan atas alasan Mohd Ariffin mempunyai empat anak untuk ditanggung dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
Lim turut memaklumkan bahawa tertuduh telah kehilangan pekerjaan sebagai jurujual susulan kes berkenaan serta menunjukkan rasa kesal dan insaf atas perbuatannya.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith Gilbert memohon agar hukuman berat dikenakan memandangkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa.
Tertuduh telah membayar denda.