KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan, sambil menegaskan bahawa isu berkenaan bukan soal kekebalan peribadi, sebaliknya melibatkan prinsip tadbir urus dan perlindungan institusi awam daripada tindakan undang-undang yang bermotif politik.
Menurut Anwar, permohonannya sebelum ini dibuat atas asas mempertahankan integriti sistem perlembagaan dan memastikan kedudukan jawatan tinggi dalam kerajaan tidak terjejas oleh litigasi yang boleh bersifat strategik, bermotifkan politik atau menggugat kestabilan institusi negara.
“Perkara ini sama sekali bukan bertujuan untuk mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada penelitian undang-undang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.
Beliau menegaskan bahawa beliau kekal komited kepada prinsip kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan martabat pentadbiran demokrasi.
“Proses undang-undang akan berjalan seperti biasa dan saya akan terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab saya tanpa sebarang gangguan atau kompromi,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung satu tindakan saman sivil yang difailkan terhadapnya.
Permohonan itu dibuat di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan persoalan berhubung pelaksanaan atau tafsiran peruntukan perlembagaan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.