Kota Kinabalu : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung kemungkinan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyatakan bahawa parti itu hanya akan mempertimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN17.
“Itu adalah pandangan Datuk Seri Bung Moktar. GRS belum lagi buat sebarang keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan sebanyak 200 ekor lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kampung Lok Batik di sini pada Khamis.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, Ahli Majlis Tertinggi GRS dijangka bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan hala tuju gabungan itu dalam menghadapi PRN17.
“Ahli Majlis Tertinggi GRS akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini untuk menentukan hala tuju kita dalam PRN 17, termasuk siapa dan parti yang akan menjadi rakan kerjasama, menentukan agihan kerusi dan lain-lain,”‘katanya. – SABAH MEDIA