HomeUtamaKerajaan negeri dan UMS tangani isu bekalan air secara bersama, sistem agihan...

Kerajaan negeri dan UMS tangani isu bekalan air secara bersama, sistem agihan dalaman turut diperbaiki

Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memberi jaminan bahawa isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan ditangani secara menyeluruh menerusi kerjasama rapat antara Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan pihak universiti.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, beberapa siri perbincangan dan lawatan tapak telah diadakan bagi merungkai isu yang telah berlarutan dan memberi kesan kepada lebih 23,000 warga kampus.

“Antara punca utama dikenal pasti termasuk kecurian air, sistem paip belum lengkap serta cabaran pengoperasian dalaman. Kerajaan memandang serius perkara ini dan telah menyelaras usaha kolaborasi antara JANS dan UMS dari aspek teknikal serta komunikasi,” katanya dalam sidang media berkaitan isu air UMS, di sini hari ini.

Kerajaan Negeri bersama Jabatan Air dan UMS semasa sidang media khas mengeni isu air UMS di bangunan Kementerian Kerja Raya Sabah di sini, hari ini. Dua dari kiri Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly (Timbalan Naib Cancelor UMS (Penyelidikan Dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Datuk Ridhwan Roger Linus (Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah) dan Chee Chun Chieh (Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah).

Menurutnya, hasil siasatan turut mendedahkan wujud kekeliruan komunikasi antara pihak universiti dan JANS khususnya berkaitan pemantauan paras air di Tangki R13, yang menyumbang kepada ketidaktentuan dalam agihan air.

“Miscommunication (ketidaksefahaman) ini sedang ditangani. Indikator lama telah diganti dan indikator digital yang baharu kini sedang menunggu pelepasan kastam untuk pemasangan dalam tempoh terdekat,” jelas beliau.

Beliau berkata, apabila pemasangan sistem tersebut selesai, ia akan membantu menyeragamkan pemantauan paras air dan pengoperasian pam dalaman kampus secara lebih efisien.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansur berkata pihak universiti menyambut baik pendekatan bersama itu dan menekankan kepentingan kestabilan bekalan air menjelang kemasukan semula pelajar selepas cuti semester.

“Kami mengalu-alukan sokongan Kerajaan Negeri termasuk dalam bentuk peruntukan prasarana, penyelidikan serta biasiswa selama ini. Isu air ini kecil, tetapi telah dipolitikkan. Apa yang penting sekarang adalah penyelesaian tuntas demi kesejahteraan pelajar dan staf,” katanya.

Mengulas cadangan jangka panjang, Shahelmey berkata sistem paip baharu Telibong II Fasa 2 yang dijangka siap sepenuhnya akhir Jun atau awal Julai akan meningkatkan kapasiti bekalan air terawat ke kawasan Kota Kinabalu Utara termasuk UMS.

Projek-projek sokongan seperti pemasangan pam, penyambungan paip serta pembangunan loji rawatan baharu di Kasigui juga sedang giat dijalankan dan dijangka menyumbang tambahan kapasiti lima juta liter sehari (MLD) kepada sistem sedia ada.

“Kami percaya apabila semua elemen ini siap kelak, bekalan air akan menjadi lebih stabil dan mampan. Sementara itu, kerjasama berterusan antara JANS dan UMS sangat penting bagi mengelakkan sebarang gangguan pada masa depan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular