HomeUtamaKeselamatan di Gunung Kinabalu bertambah baik selepas gempa bumi 10 tahun lalu

Keselamatan di Gunung Kinabalu bertambah baik selepas gempa bumi 10 tahun lalu

Read Time:1 Minute, 51 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kundasang : Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan dan diperkukuh termasuk kewujudan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) susulan kejadian gempa bumi yang berlaku di Gunung Kinabalu sedekad lalu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) Peter Lintar berkata, selain itu latihan simulasi penyelamatan yang lebih komprehensif dan peningkatan latihan turut diperkukuh.

“Sepanjang dekad itu juga, penilaian terhadap malim gunung, penambahbaikan protokol kecemasan, serta usaha berterusan dalam mempertingkatkan kesedaran awam turut ditambah baik.

“Tragedi ini juga mengajar kita erti kerendahan hati di hadapan kekuasaan alam. Ia juga menyedarkan kita tentang kepentingan ketersediaan, keselamatan pendakian, serta sistem amaran awal yang efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena ulang tahun sedekad tragedi Gempa Bumi Gunung Kinabalu di sini pada Khamis.

Katanya, upacara seumpama itu tidak akan diteruskan untuk tahun akan datang namun akan memberi peluang kepada ahli keluarga mangsa untuk melakukan ziarahi atau upacara takafur di kawasan ini. 

“Kepada keluarga mangsa, anda tidak pernah keseorangan. Kenangan terhadap insan tersayang kekal hidup dalam doa dan amal kita semua. 

“Pada tahun ini, sempena 10 tahun peristiwa gempa yang telah berlaku pada 5 Jun 2015, acara memperingati peristiwa gempa juga diadakan di Pekan Kundasang dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk komuniti persekitaran pekan Kundasang. Program ini dianjur bersama oleh Kinabalu UNESCO Global Geopark, Pejabat Daerah Ranau dan Mesilau Volunteer (MeVoc),” katanya.

Dalam pada itu, Peter berkata, pihaknya berharap program memperingati gempa itu dapat diteruskan dimasa akan datang bagi memastikan komuniti yang terlibat akan terus dapat diterapkan kesedaran, keselamatan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang bentuk bencana termasuk gempa bumi.

Katanya, Gunung Kinabalu telah menjadi saksi kepada sebuah tragedi yang meragut 18 nyawa insan tersayang.

“Parutnya kekal mendalam di hati keluarga, rakan-rakan, seluruh rakyat Malaysia,  khususnya masyarakat Sabah dan komuniti antarabangsa yang turut terkesan. 

“Kita mengenang jiwa-jiwa terkorban – pendaki, malim gunung, dan anak-anak muda yang penuh semangat. Mereka pergi terlalu awal, di tempat yang sepatutnya menjadi lambang keindahan ciptaan Tuhan. 

“Kepada keluarga yang kehilangan, kami memahami bahawa kesedihan ini tidak pernah benar-benar hilang. Sepuluh tahun mungkin mengubati luka fizikal, tetapi kerinduan terhadap insan tersayang kekal abadi. Terima kasih atas kekuatan dan ketabahan yang ditunjukkan selama ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular