HomeUtamaDua lagi dipenjara termasuk ketua ‘Geng Upik’

Dua lagi dipenjara termasuk ketua ‘Geng Upik’

Read Time:3 Minute, 16 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Dua individu, termasuk ketua ‘Geng Upik’, dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Datuk Maslan Sani, 42, yang berperanan sebagai ketua dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah menjadi anggota kumpulan jenayah terancang itu antara tahun 2015 hingga 2023.

Sementara itu, Nelson Yen Yee Chung, 47, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif, iaitu membantu kumpulan jenayah terancang berkenaan.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Lim Hock Leng.
Perbicaraan terhadap tiga lagi individu Zulkahar Dusing, 38, Rahman Burijin, 44, dan Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45 yang berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ ditetapkan berlangsung pada 15 hingga 18 Julai ini.

Pertuduhan asal dibuat di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Manakala pertuduhan alternatif dikemukakan mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, 10 individu telah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membantu kumpulan jenayah terancang dan telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun setiap seorang.

Berdasarkan fakta kes, Maslan ditangkap pada 25 Disember 2023, kira-kira jam 2.30 pagi, di sebuah pusat hiburan di Penampang kerana dipercayai terlibat dalam kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’.

Hasil siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat mendapati tertuduh adalah ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ yang terlibat secara langsung dalam kegiatan pengedaran dadah berbahaya yang dilakukan oleh kumpulan itu antara tahun 2015 hingga 25 Disember 2023.

Tertuduh memainkan peranan sebagai ketua kumpulan jenayah terancang tersebut, yang turut terlibat dalam pengedaran dadah berbahaya bersama ahli kumpulan lain untuk mendapatkan faedah material.

Hasil siasatan juga mendapati kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya berkaitan beberapa kesalahan serius, termasuk tiga kes di Tawau dan satu di Manggatal.

Di Tawau, pihak berkuasa telah merampas sebanyak 53 kilogram syabu yang mempunyai kaitan dengan ‘Geng Upik’. Siasatan turut membawa kepada penangkapan seorang individu yang membantu kumpulan itu, iaitu Syafilah Pawawoi, yang telah dijatuhi hukuman 12 tahun penjara atas kesalahan dadah.

Satu lagi tangkapan melibatkan seorang individu yang turut membantu ‘Geng Upik’ kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Tawau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di Manggatal, kumpulan itu dikaitkan dengan rampasan 4.6 kilogram syabu.

Dalam kes Nelson pula, dia ditangkap pada 25 Disember 2023 di Inanam kerana disyaki terlibat dengan ‘Geng Upik’. Siasatan antara lain mendapati tertuduh telah membantu kumpulan jenayah terancang tersebut dengan menghadiri perjumpaan-perjumpaan dan membantu menguruskan hal ehwal perniagaan serta kewangan kumpulan itu.

Semasa rayuan, kedua-dua tertuduh melalui peguam masing-masing meminta hukuman diringankan.

Peguam Hamid Ismail, yang mewakili Maslan, antara lain berkata tertuduh telah bercerai dan mempunyai sembilan anak berumur antara tiga hingga 18 tahun untuk ditanggung. Selain itu, beliau memaklumkan bahawa tertuduh merupakan pesalah pertama dan menzahirkan rasa kesal atas perbuatannya.

Peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan, yang mewakili Nelson, memaklumkan kepada mahkamah bahawa ini merupakan kesalahan pertama Nelson dan dia telah menyesali perbuatannya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail, Siti Hajar Mat Radzi, dan Nur Ainaa Ridzwan.

Mahkamah memerintahkan Maslan dan Nelson menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap.

Sementara itu, perbicaraan terhadap tiga lagi individu – Zulkahar Dusing, 38, Rahman Burijin, 44, dan Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45 – yang berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ ditetapkan berlangsung pada 15 hingga 18 Julai ini.

Seramai 15 individu telah didakwa berhubung dengan kes ‘Geng Upik’. Namun, sebelum ini, 10 individu telah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membantu kumpulan jenayah terancang dan telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun setiap seorang.

LINK BERITA TERDAHULU

Bicara kes ‘Geng Upik’ bermula Jun

LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/03/20/enam-individu-dipenjara-3-tahun-bantu-kumpulan-jenayah-terancang-geng-upik/

LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/03/18/akun-salah-empat-ahli-geng-upik-dipenjara-tiga-tahun/

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular