Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak terhegeh-hegeh untuk mencari rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Malah, Setiausaha Eksekutif GRS, Datuk Mohd Razali Razi berkata, gabungan itu kini memberi tumpuan untuk mengekalkan formula sedia ada iaitu GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus dan bukanlah mencari rakan lain.
Katanya, GRS sudah mempunyai asas yang mahu dipertahankan dalam soal kerjasama menghadapi PRN17 dan tiada sebarang isu timbul sama ada mahu bekerjasama dengan parti lain, khususnya UMNO – Barisan Nasional (BN).
“Kita tidak terhegeh-hegeh untuk mencari rakan. Apa yang disarankan oleh Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor adalah formula sekarang, GRS – PH Plus, itu yang berkesan.

“Jadi, sama ada mereka (UMNO-BN) mahu atau tidak, bukan kita terhegeh-hegeh, kita tidak mencari rakan. Fokus kita sekarang ialah bagaimana untuk bekerja dan melaksanakan penyampaian kepada rakyat.
“Pokoknya rakyat yang akan memilih, kita tidak mahu berlakon. Apa yang penting ialah semua isu dapat diselesaikan, mudah saja, kita tumpukan apa yang baik untuk rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih Gagasan Rakyat Darau sempena sambutan Aidiladha di Kampung Likas, di sini, pada Khamis.
Katanya, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan GRS tidak mahu menjadi juara di media.
Namun gabungan itu akan terus berusaha untuk menumpukan khidmat kepada rakyat dengan bersama mereka di lapangan berbanding parti lawan yang banyak menggunakan media untuk menghentam GRS dan kerajaan negeri.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Darau bersetuju agar keputusan sama ada GRS perlu bekerjasama atau tidak dengan UMNO – BN dibuat selepas PRN17 nanti.
Katanya, ketika ini Gagasan Rakyat dan GRS enggan memikirkan soal kerjasama dengan UMNO atau BN kerana mahu mengekalkan asas sedia ada iaitu kerjasama GRS dengan PH.
“Bila sampai ke masa itu (selepas PRN17), maka kita akan membuat keputusan, mudah saja. Apa yang penting ketika ini ialah usaha kita untuk membantu rakyat, kita tidak menekankan terhadap politik,” katanya. – SABAH MEDIA