HomeUtamaGuru besar ditemui selepas 25 jam sesat di hutan ketika mencari kerbau...

Guru besar ditemui selepas 25 jam sesat di hutan ketika mencari kerbau korban

Read Time:2 Minute, 22 Second

Oleh Normimie Diun

BEAUFORT: Niat murni seorang guru besar mencari dua ekor kerbau korban milik pakciknya bertukar menjadi detik cemas apabila beliau tersesat hampir 25 jam dalam hutan Kampung Nabahan, Weston, sebelum ditemui selamat tengah hari tadi.

Penduduk Kg Suasa menemui mangsa Ag Ku Jainuddin (tengah) dengan selamat di lkawasan hutan Kg Nabahan, Weston tengah hari tadi. – Foto ihsan Ag Ku Jainuddin Pg Wahab

Mangsa, Ag Ku Jainuddin Pg Wahab, 52, yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berempah, Sipitang, dilaporkan hilang sekitar jam 11.30 pagi semalam (5 Jun) ketika cuba menjejak semula dua ekor kerbau telah terlepas dari kandang yang juga merupakan kerbau korban sempena Hari Raya Aidiladha esok.

“Masa mencari itu saya bersama sepupu, tapi kami terpisah. Saya pula terus masuk makin jauh ke dalam hutan… lepas itu saya tidak jumpa jalan keluar,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Menurutnya, dia cuba berpatah balik tetapi hanya berpusing-pusing di laluan sama, menempuh hutan berduri, pokok nipah, rotan dan lumpur sebelum menyedari dirinya benar-benar tersesat.

Tanpa makanan dan lampu, dia hanya bergantung pada doa serta seutas tali pengikat kerbau (‘kalat’) yang dijadikan buaian sementara untuk berteduh sepanjang malam.

“Saya ikat tali di batang kayu buat macam buaian, duduk atas tu dan tidur saja sampai pagi. Malam tu banyak nyamuk, saya dengar bunyi tembakan, gong, suara orang, tapi saya diam saja,” katanya.

Ag Ku Jainuddin berkata dia hanya sempat meneguk air lopak untuk menghilangkan dahaga dan meneruskan langkah keesokan pagi berpandukan kedudukan matahari, sambil terus membaca doa dan ayat suci al-Quran seperti Al-Fatihah dan Ayat Kursi.

Usaha itu membuahkan hasil apabila dia terdengar suara memanggil sebelum berjaya ditemui sekeluarga penduduk dari Kampung Suasa yang sedang membantu operasi pencarian.

“Mereka bagi saya minum kopi, makan, dan bantu saya keluar dari kawasan itu. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Menurut adiknya, Ag Ku Zaidin, ahli keluarga dan penduduk kampung sudah memulakan pencarian sejak malam semalam, namun hanya selepas laporan dibuat, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dilancarkan pada jam 8.40 pagi tadi.

Operasi SAR itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba sukarela Kampung Lubok serta penduduk kampung, sebelum beliau ditemui kira-kira jam 12.40 tengah hari hanya 500 meter dari kawasan letak bot berhampiran tebing sungai.

Ag Ku Jainuddin kini berada dalam keadaan stabil dengan hanya beberapa kesan calar di betis dan kaki, serta sedang menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Beaufort.

Beliau turut meluahkan rasa terharu apabila mengetahui ramai pihak termasuk ahli keluarga, rakan guru dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin sendiri mendoakan keselamatannya.

“Saya amat bersyukur dan terima kasih kepada semua yang terlibat APM, polis, bomba, penduduk kampung, guru-guru, keluarga dan semua yang mendoakan saya,” katanya penuh emosi.

Guru besar berdedikasi itu juga berharap dapat menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga esok.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular