Sandakan : Politeknik Sandakan Sabah melakar sejarah tersendiri apabila melantik Mohd Sahran @ Awang bin Mohidin sebagai Pengarah baharu institusi tersebut berkuat kuasa 3 Jun lalu.
Dalam satu kenyataan di sini memaklumkan, pelantikan itu bukan sahaja mencerminkan pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau, malah turut mencipta detik bersejarah sebagai anak jati Sabah pertama yang diberi kepercayaan mengemudi Politeknik Sandakan.
Beliau memulakan langkah awal dalam dunia pendidikan dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebelum meneruskan kerjaya cemerlang dalam sektor pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) selama lebih dua dekad.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah menyumbang tenaga dan kepakaran di pelbagai institusi termasuk Politeknik Kota Kinabalu (2000–2005); Penolong Pengarah, Bahagian Latihan dan Kerjaya JPPKK (2005–2015) Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Politeknik Kota Kinabalu (2016–2020); KUKK JPPKK, Putrajaya (2021–2023) dan Pengarah, Politeknik Tawau Sabah (2024–2025).

Reputasi cemerlang beliau dalam aspek kepimpinan, pengurusan institusi dan pembangunan kompetensi pelajar telah menjadikan beliau calon paling layak untuk memacu Politeknik Sandakan ke arah lebih progresif dan relevan dengan keperluan semasa.
Pelantikan Mohd Sahran disambut penuh bangga dan optimis, bukan sahaja oleh warga politeknik, malah oleh masyarakat Sabah secara keseluruhan.
Ia dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkasakan bakat tempatan serta memperkukuh identiti pendidikan TVET yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Dengan pengalaman luas, komitmen tinggi dan pemahaman mendalam terhadap landskap pendidikan di Sabah, beliau diyakini akan membawa arus perubahan positif, menjadikan Politeknik Sandakan sebagai institusi rujukan utama dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Pelantikan ini bukan sekadar satu kejayaan peribadi, tetapi juga satu simbol harapan baharu bagi generasi muda Sabah dalam meraih pendidikan berkualiti dan masa depan yang gemilang. – SABAH MEDIA