Kundasang : Lebih 700 peserta dari sekitar daerah Ranau menyertai larian dan ekspedisi motor lasak serta motor empat roda (Enduro dan ATV Expedition) yang berlangsung di Pekan Kundasang di sini baru-baru ini.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Daerah Ranau, Kinabalu UNESCO Global Geopark dan Mesilou Volunteer Club (MEVOC) itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Joachim ketika ditemui berkata, penganjuran acara itu adalah bertujuan bagi memperingati tragedi gempa bumi yang berlaku sedekad lalu

“Acara ini diadakan untuk memperingati mangsa dan peristiwa gempa bumi yang berlaku 10 tahun lalu. Sambutan daripada para peserta amat menggalakkan, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah dan orang dewasa,” katanya.
Tiga kategori larian telah dipertandingkan iaitu kategori pelajar sekolah dengan jarak enam kilometer, kategori veteran dan kategori terbuka (12km).
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut, termasuk Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Ketua Penolong Pengarah Taman-Taman Sabah, Justinus Guntabid; dan Presiden MEVOC, Samsul Sinun.
Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim berkata, sejak tahun 2016, pelbagai aktiviti memperingati tragedi gempa bumi telah dilaksanakan setiap tahun pada 5 Jun.
Antara inisiatif utama termasuklah simulasi penyelamatan dan usaha mempertingkat sistem keselamatan di kawasan bergunung.
Antara pengisian utama acara kali ini ialah taklimat keselamatan dan kesiapsiagaan menghadapi gempa bumi yang diadakan di Pentas Budaya Kundasang, pemeriksaan kesihatan percuma, jualan Rahmah dan pameran eko-pelancongan (anjuran MEVOC, MAH, META dan KOPSODIK). – SABAH MEDIA