Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan meminda Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 bagi membolehkan peniaga kecil menggunakan LPG bersubsidi tanpa perlu memohon permit khas disambut baik oleh golongan peniaga mikro dan kecil.
“Kerajaan juga bersetuju bahawa sementara menunggu pindaan dimuktamad dan dikuatkuasakan, tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap peniaga kecil yang menggunakan LPG bersubsidi tanpa PBKB,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Sementara itu, Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (G3PNS), Biro Belia Niaga, Media dan Digital, Achmad Noorasyrul Noortaip menyambut baik ketetapan kerajaan itu yang menurutnya memberi kelegaan kepada ramai peniaga kecil.
“G3PNS amat menghargai kenyataan bahawa tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap peniaga makanan dan minuman mikro serta kecil yang menggunakan tong LPG bersubsidi tanpa permit.
“Ramai penjaja kecil gusar kerana kebimbangan disaman akan meningkatkan kos operasi dan akhirnya menyebabkan kenaikan harga jualan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kapasiti penggunaan LPG bersubsidi dinaikkan antara tiga hingga lima tong dalam satu masa, bergantung kepada jenis perniagaan.
“KPDN juga disaran turun padang melawat tapak perniagaan sebelum membuat keputusan terhadap sebarang permohonan, bagi memahami keperluan sebenar peniaga,” tambahnya.
Seorang peniaga kecil dari Kudat, Rosley Sadah yang mengusahakan gerai martabak dan kuih-muih di Plaza Manggatal turut menyambut baik langkah kerajaan.
Beliau yang menggunakan dua tong LPG bersubsidi serentak untuk memasak berkata, ada kalanya peniaga memerlukan lebih banyak tong apabila pelanggan ramai atau menerima tempahan khas.
“Pendapatan kami tidak menentu. Ada masa ramai pelanggan, ada masa kurang. Saya harap kerajaan terus membantu dan memberi sokongan agar peniaga kecil seperti kami dapat bertahan,” katanya.
Peniaga muda dari Keningau, Tracilla Leonard Alai, 23, yang mengusahakan gerai “Dompuran Tokou” di Inanam turut berkongsi harapan sama.
Beliau bersama dua saudaranya memulakan perniagaan makanan setahun lalu, dan menyewa lot gerai di Babarian Reborn Food Court. Katanya, mereka memerlukan lebih daripada tiga tong LPG dalam satu masa sekiranya menerima tempahan katering.
“Kami berniaga dari jam 4 petang hingga 11 malam. Biasanya pelanggan ramai pada hujung minggu, cuti umum dan awal bulan. Jadi bila ada banyak menu, kami perlukan lebih banyak tong gas,” katanya.
Peniaga kecil berharap agar sebarang keputusan yang bakal dilaksanakan nanti mempertimbangkan realiti dan cabaran sebenar perniagaan kecil, supaya mereka terus mampu menjana pendapatan dan keluar daripada belenggu kemiskinan.