Kota Kinabalu : Sebanyak 132 penyertaan diterima menerusi Pertandingan Menulis Puisi Tragedi Double Six sempena upacara memperingati Tragedi Double Six yang ke-49 di sini pada Jumaat.
Pertandingan yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu menerima penyertaan dari seluruh negara termasuk Brunei dan Indonesia sebagai usaha memartabatkan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera UNESCO.
Upacara memperingati Tragedi Double Six itu dihadiri Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Ellron ketika ditemui berkata, minat mendalam para penyair ini membuktikan betapa tragedi ini kekal segar dalam jiwa rakyat.
“Kita harus terus menghidupkan ingatan ini melalui pelbagai cara agar sejarah politik Sabah difahami secara menyeluruh,” katanya.
Katanya, sambutan kali ini turut mencadangkan agar wakil pelajar sekolah, universiti dan kerajaan Persekutuan dijemput dan dilibatkan pada sambutan ke-50 tahun hadapan supaya nilai sejarah dan pengorbanan para pemimpin negeri tidak dilupakan generasi muda.

Beliau berkata, pertandingan menulis puisi yang dianjurkan itu adalah sebagai sebahagian daripada kesinambungan usaha memartabatkan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera UNESCO, selepas kejayaan Bandaraya Kota Kinabalu merangkul Anugerah Kota Puisi dan Esei ASEAN di Jakarta pada 14 Disember 2024.
Tragedi Double Six pada 6 Jun 1976 merupakan insiden nahas pesawat GAF Nomad (9M-ATZ) yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens bersama 10 penumpang lain, termasuk anggota kabinet negeri. Tragedi ini kekal sebagai titik penting dalam sejarah negeri Sabah yang kini menjagkau 49 tahun.
Upacara memperingati yang bermula jam 8 pagi dimulakan dengan bertafakur selama seminit disusuli dengan meletakkan karangan bunga oleh pemimpin dan wakil keluarga mangsa.
Sejurus selesai upacara di Tugu Peringatan Double Six, para jemputan dibawa melawat ke Galeri Double Six serta sesi majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Menulis Puisi Tragedi Double Six.
Duliam Suari menerusi puisi bertajuk ‘Tugu Lagenda Khazanah Bangsa’ memenangi tempat pertama pertandingan tersebut, manakala ‘Double Six Nyala Bersejarah’ karya Haliza Matali dipilih sebagai naib johan dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Saadah Jaffar melalui karya bertajuk ‘Bergentayangan’.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Richard Yong We Kong, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud, Timbalan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM Kontinjen Sabah Suprenteden Soliment Nyian dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sutera Harbour Gerry D’Cruz.
Turut hadir Ketua Pengarah DBKK, Lifred Wong merangkap Pengerusi Upacara Peringatan Double Six.