HomePolitikJentera pilihan raya GRS sedia hadapi PRN17

Jentera pilihan raya GRS sedia hadapi PRN17

Read Time:1 Minute, 17 Second

Kota Kinabalu : Jentera pilihan raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor  berkata, beberapa siri kursus di setiap kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diadakan bagi menghadapi pilihan raya.

“Apa yang jelas, GRS sudah bersedia. Kita sudah menubuhkan jentera pilihan raya dan kita telah pun mengadakan beberapa siri kursus untuk menghadapi pilihan raya.

“Bagaimanapun, soal pembahagian jumlah kerusi belum dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Ibadah Korban Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Tuaran 2025 di sini pada Sabtu.

Sempena majlis itu, beliau bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya secara simbolik menyerahkan lembu korban kepada Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin.

Mengenai sambutan Aidiladha, Hajiji berharap Hari Raya Aidiladha ini akan membawa banyak kesedaran kepada rakyat khususnya umat Islam untuk bekerjasama dan sanggup berkorban untuk kepentingan  bersama.

“Ini kerana dalam perayaan Hari Raya Aidiladha ini, pengorbanan bukan melibatkan ternakan sahaja tetapi juga dalam setiap kehidupan kita sebagai manusia ini kita kena bertolak ansur, bekerjasama dan sanggup berkorban untuk kebaikan kita bersama,” katanya.

“Ini bermakna kita perlu mementingkan perpaduan dan juga masa depan rakyat yang berbilang kaum di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Hajiji menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Haji Noor Kampung Serusop bersama kira-kira 1,000 jemaah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga lelaki dicekup, polis Penampang rampas 78,500ml air ketum

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular