Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mula menguatkuasakan kempen pengurangan penggunaan polisterin dan penyedut minuman plastik mulai 1 Oktober depan.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, kempen yang dijadualkan dilancarkan pada 29 Jun ini adalah bersempena kempen kesedaran ‘My City, My Responsibility’ sempena Sambutan Hari Alam Sekitar.
Menurut DBKK, pelaksanaan kempen itu adalah selari dengan usaha sedia ada seperti kempen pengurangan penggunaan beg plastik, serta menyokong dasar Kerajaan Negeri Sabah melalui Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Kempen ini menyasarkan penglibatan daripada pengusaha premis makanan dan restoran, perkhidmatan makanan dan minuman (F&B).

Selain itu, kempen itu turut menyasarkan kedai runcit yang menjual minuman dalam tin, kafe dan kantin sekolah, perkhidmatan katering berdaftar dengan DBKK serta penjaja, pasar dan tamu di bawah pengurusan DBKK.
“Mulai 01 Oktober 2025, semua pengusaha yang terlibat dilarang menggunakan polisterin sebagai bahan pembungkusan makanan dan minuman, serta tidak dibenarkan menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan,” menurut kenyataan itu di sini.
Terdahulu, DBKK telah menganjurkan satu sesi libat urus kempen pengurangan penggunaan polisterin dan penyedut minuman plastik bertempat di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, pada 06 Jun lalu
Sekitar 135 peserta telah menghadiri sesi libat urus ini yang terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Persatuan Kedai Kopi, Persatuan Penjaja, pengurusan pusat beli-belah dan pengusaha plastik.
Sesi libat urus itu dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK Robert Lipon, dan turut dihadiri Setiausaha Rendah (Sektor Pembangunan), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Johnny Samson, serta wakil daripada SIRIM Negeri Sabah Herric Evans.
Dalam sesi itu, taklimat berkenaan kempen yang dirancang telah dibentangkan, termasuk objektif dan hala tuju pelaksanaannya.
Para jemputan kemudian telah diberikan ruang untuk mengemukakan pandangan dan cadangan bagi memperkukuh pelaksanaan kempen ini.
DBKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menghadiri sesi libat urus ini.
“Semoga semua pihak akan terus memberi sokongan dan kerjasama bagi menjayakan inisiatif ini ke arah Bandaraya Kota Kinabalu yang lestari dan berdaya huni,” menurut kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK