HomeUtamaFloating Club House @ Pulau Gaya, destinasi pelancongan terapung pertama di...

Floating Club House @ Pulau Gaya, destinasi pelancongan terapung pertama di Sabah

Read Time:1 Minute, 49 Second

Kota Kinabalu : Floating Club House @ Pulau Gaya, sebuah fasiliti pelancongan unik yang terapung di atas laut dan mampu menampung seramai lebih 100 orang pengunjung pada satu-satu masa.

Fasiliti yang pertama seumpamanya di Sabah itu dibina secara inovatif di atas laut dengan gabungan reka bentuk lestari bersama kemudahan mewah dan ruang yang direka rapi untuk bersantai bagi menikmati pemandangan, menjamu selera dan beriadah mampu menetapkan penanda aras baharu bagi pengalaman pelancongan berasaskan laut di negeri ini.

Pelancaran rasmi kemudahan itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew yang turut memuji usaha itu sebagai pencapaian besar dalam mengangkat produk pelancongan Sabah ke tahap lebih tinggi.

“Struktur ini adalah produk pelancongan baharu Sabah dan membuktikan kekuatan kolaborasi strategik antara sektor awam dan swasta dalam memperkasa pelancongan bernilai tinggi di negeri ini.

“Dengan adanya destinasi pelancongan baharu ini, saya berharap lebih ramai pelancong luar dari China, Korea, Jepun dan negara lain akan tertarik ke Sabah. Saya juga dimaklumkan satu lagi fasiliti seumpama sedang dirancang untuk dibina di Kota Kinabalu,” katanya.

Ketika berucap, Christina berkata, pelancong global kini semakin mencari pengalaman premium yang bersifat mendalam dan Sabah terus menarik pelabur yang berpandangan jauh untuk membangunkan aset semula jadi menjadi produk pelancongan yang luar biasa.

“Antaranya ialah Lazy Cat International Travel Service Co. Ltd yang muncul sebagai penyumbang utama kepada transformasi ini.

“Komitmen mereka terhadap Sabah sangat menyeluruh bermula menyediakan armada kapal layar mewah untuk pelayaran pulau dan pelayaran matahari terbenam, sehingga pelaburan dalam sektor makanan dan minuman serta pelancongan budaya…ini mampu menyemarakkan lagi ekonomi pelancongan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Christina turut menekankan peranan anak syarikat tempatan Lazy Cat, iaitu Cheetah Transportation Sdn Bhd yang melaksanakan inisiatif itu dan memperkukuh infrastruktur serta perkhidmatan pengangkutan laut yang menyokong pelancongan marin di seluruh Sabah.

“Sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, saya menyokong pembangunan pelancongan yang berani, lestari dan inklusif.

“Kami mengalu-alukan lebih banyak syarikat seperti Lazy Cat dan Cheetah Transportation membawa idea, komitmen dan pelaburan mereka ke Sabah seterusnya bersama komuniti setempat.

“Bagi pihak kerajaan Sabah, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Lazy Cat, Cheetah Transportation Sdn Bhd dan semua rakan kongsi yang terlibat dalam projek luar biasa ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular