Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 34 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya.
Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan hakim Hurman Hussain.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 23 April lalu di sebuah bilik di daerah Putatan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) SOACA dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, Seksyen 14(a) SOACA memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, manakala Seksyen 16 memperuntukkan tambahan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada dua kali.
Mahkamah menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin memandangkan dia dan mangsa tinggal di kediaman yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam